AM

JPSM Tingkat Usaha Urus, Bangunkan Sumber Hutan Demi Sosioekonomi Negara

08/10/2024 02:21 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) meningkatkan usaha bagi mengurus dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan serta mengoptimumkan sumbangannya kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Ketua Pengarah JPSM Zahari Ibrahim berkata antara langkah yang dilaksanakan termasuk membangunkan kawasan hutan yang berpotensi sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia bagi menjana peluang ekonomi dan pendapatan walaupun berdepan pelbagai cabaran.

"Selaras dengan permintaan sektor ekopelancongan, JPSM turut memberi sumbangan yang signifikan dalam sektor ekopelancongan dengan mewujudkan 117 Taman Eko Rimba (TER) dan 16 Hutan Taman Negeri (HTN) di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Tujuan penubuhan TER dan HTN ini adalah sebagai tanggungjawab sosial pihak jabatan kepada masyarakat umum bagi faedah-faedah rekreasi, pendidikan, ekopelancongan dan perlindungan sumber biodiversiti," katanya ketika ditemui Bernama di Ibu Pejabat JPSM di sini baru-baru ini.

Beliau berkata antara TER yang popular adalah Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL), TER Mossy Forest di Pahang, TER Kledang Saiong di Perak dan TER Sungai Sedim di Kedah manakala HTN yang terkenal antaranya Taman Negeri Rompin di Pahang, Taman Negeri Perlis, Taman Negeri Gunung Stong di Kelantan dan Taman Negeri Bukit Panchor di Pulau Pinang.

Zahari berkata bagi menyokong pengurusan hutan, JPSM bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta syarikat swasta untuk menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pelaburan di kawasan ekopelancongan berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK).

"Hasil kerjasama itu, bilangan pengunjung ke TER dan HTN dalam HSK menunjukkan tren peningkatan sebanyak 8.5 peratus daripada 2,945,724 orang pada 2022 kepada 3,200,230 orang pada tahun lepas," katanya.

Selain itu, beliau berkata dalam memastikan keselamatan pengunjung, JPSM menguatkuasakan penggunaan perkhidmatan Malim Gunung Perhutanan (MGP) melibatkan lebih 200 kawasan dalam HSK di Semenanjung Malaysia bermula 1 Jan tahun lepas bagi negeri-negeri yang bersedia.

JPSM telah mewujudkan Program MGP sejak 2020 dan sehingga kini telah melatih seramai 1,877 orang di seluruh Semenanjung Malaysia untuk mengurangkan risiko kemalangan dan kejadian orang sesat semasa menjalankan aktiviti pendakian yang dilihat semakin diminati di negara ini.

"Untuk jangka masa panjang, JPSM akan meneruskan semua pelan tindakan yang digariskan dalam Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi memperkasakan sektor ekopelancongan, terutamanya dalam usaha penjanaan hasil pendapatan baharu kepada kerajaan-kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata JPSM sedang memperkasakan aplikasi teknologi maklumat melalui penggunaan Internet of Things (IoT) dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi sektor penguatkuasaan dan operasi hutan.

Zahari berkata penggunaan imej satelit atau penderiaan jauh, pemantauan udara, darat dan air serta penubuhan 'war room' di peringkat ibu pejabat sebagai pusat pemantauan digital secara berpusat itu menjadikan pemantauan penguatkuasaan lebih efektif.

"Kita memperkasakan operasi War Room JPSM iaitu sebuah Pusat Pemantauan Sumber Hutan JPSM yang menggunakan imej satelit terkini dalam memantau perubahan litupan kawasan berhutan dan perubahan guna tanah bagi keseluruhan 595 HSK secara harian.

"Kita juga menggunakan teknologi seperti dron dan 'camera trap' untuk memantau kawasan hutan dan mengesan aktiviti pencerobohan selain melaksanakan rondaan penguatkuasaan secara terancang dan berterusan," katanya sambil menambah kerjasama turut dipertingkat dengan agensi lain menerusi operasi penguatkuasaan secara bersepadu.

Ditanya mengenai Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilancarkan pada 5 Januari 2021 bagi tempoh lima tahun hingga 2025, Zahari berkata sebanyak 99,483,757 juta pokok terdiri daripada 1,883 spesies berjaya ditanam di seluruh negara sehingga 30 Sept lepas.

Beliau berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bercadang menambah baik kempen itu pada masa hadapan dengan fokus dan matlamat terarah kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan sasaran negara ke arah mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih 2050.

Dalam pada itu, Zahari berkata Program Perhutanan Sosial yang melibatkan Orang Asli dan komuniti setempat berhampiran HSK memberi peluang kepada masyarakat untuk turut serta bagi melindungi kawasan itu daripada aktiviti seperti pembalakan haram dan pencerobohan hutan.

"Melalui aktiviti hutan sosial, faedah kepada masyarakat yang dapat diperoleh adalah seperti penjanaan peluang pekerjaan dan menambah pendapatan melalui aktiviti ekopelancongan, pengumpulan dan penjualan hasil hutan serta penghasilan produk-produk hasil hutan.

“Antara projek yang diperkasakan ialah Buy Back Guarantee Program bilamana masyarakat Orang Asli di Tasik Chini diberi kemahiran dan pengetahuan menyediakan anak pokok di tapak semaian dan seterusnya anak-anak pokok ini dibeli semula oleh pihak jabatan untuk ditanam di kawasan HSK atau lain-lain kawasan yang bersesuaian," katanya.

Selain itu, beliau berkata NRES dengan kerjasama JPSM akan menganjurkan Karnival KL Green Symphony 2024 pada 19 hingga 21 Okt ini di TERKL. 

Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan kepada orang ramai antaranya Malam Mini Simfoni Hutan Hujan yang menampilkan persembahan kebudayaan dan muzik, santai bersama celebriti, canopy night walk, fiesta makanan, pertandingan TikTok dan banyak lagi.

Mengikut beliau, tiket masuk ke TERKL sepanjang karnival berkenaan adalah percuma dan orang ramai boleh melayari Facebook atau laman sesawang JPSM untuk keterangan lanjut.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan