EKONOMI

Belanjawan : LIAM Mohon Pelepasan Cukai Diperluaskan Untuk Insurans Perubatan

08/10/2024 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kerajaan harus memperluaskan pelepasan cukai untuk insurans perubatan dan kesihatan dalam Belanjawan 2025, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Mark O'Dell.

Pelepasan cukai itu sewajarnya merangkumi premium insurans perubatan dengan pelan pembayaran bersama dalam pelepasan cukai RM8,000 sedia ada untuk perbelanjaan perubatan meliputi diri, pasangan dan anak-anak.

“Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan gabungan pelepasan cukai untuk insurans pendidikan, perubatan serta kesihatan daripada RM3,000 kepada RM6,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang mengandungi tiga cadangan LIAM membabitkan Belanjawan 2025.

Bayaran bersama insurans merujuk kepada pemegang polisi yang membayar sebahagian daripada perbelanjaan kemasukan ke hospital yang boleh dituntut, biasanya dinyatakan sebagai peratusan.

Berhubung cadangan kedua, LIAM meminta kerajaan agar menyeragamkan duti setem RM10 bagi penetapan polisi berdasarkan kasih sayang.

Beliau menjelaskan, dalam Belanjawan 2024, kerajaan memperkenalkan cadangan untuk mengenakan kadar duti setem tetap RM10 bagi surat ikatan pemindahan hak milik harta yang melibatkan benefisiari, selaras dengan kelayakan mereka mengikut wasiat, faraid atau Akta Pembahagian 1958.

LIAM menggesa kerajaan melanjutkan kadar duti setem RM10 yang menggalakkan ini kepada penyerahan polisi insurans berdasarkan kasih sayang dan ikatan, katanya.

LIAM juga mencadangkan kerajaan memansuhkan cukai perkhidmatan sebanyak 8.0 peratus ke atas Skim Insurans Pekerja Kumpulan bagi menggalakkan majikan menginsuranskan kakitangan mereka di bawah skim tersebut, sekali gus meningkatkan kadar penembusan pekerja.

“Dengan mempunyai lebih ramai rakyat Malaysia yang dilindungi di bawah insurans perubatan kumpulan swasta, ini akan membantu mengurangkan beban sistem penjagaan kesihatan awam dari sudut kewangan dan kapasiti,” kata O'Dell.

Beliau berkata berdasarkan peragkaan yang diterbitkan, kurang daripada separuh pekerja dilindungi oleh sebarang bentuk insurans kumpulan. 

“Ini selaras dengan agenda kebangsaan bagi melonjakkan kadar penembusan insurans selain menggalakkan kadar pengambilan yang lebih tinggi oleh majikan untuk manfaat pekerja mereka, yang seterusnya membantu mengurangkan beban sistem penjagaan kesihatan awam,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan