AM

PT Semen Padang-Bernama Bakal Jalin Kerjasama Dalam Kebudayaan, Pelancongan

08/10/2024 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- PT Semen Padang, sebuah perusahaan simen yang mempunyai pemilikan media di Sumatera Barat, Indonesia bakal menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terutamanya bagi mempromosikan kebudayaan dan pelancongan di provinsi berkenaan.

Pesuruhjaya PT Semen merangkap Ketua Pengarang Harian Singgalang Khairul Jasmi berkata pihaknya menyasarkan kerjasama itu direalisasikan dalam waktu terdekat agar kandungan berita yang dipertontonkan di stesen radio, televisyen dan platform portal masing-masing dapat dimantapkan.

“Tadi kita ada berbincang, akan ada kerjasama dengan Bernama dalam pertukaran kebudayaan dan pelancong (pariwisata) terpilih dan ia akan direalisasikan dalam beberapa bulan ke depan,” katanya kepada Bernama selepas mengetuai lawatan kira-kira 23 pengamal media di bawah PT Semen Padang ke agensi itu hari ini.

Antara yang menyertai delegasi Ketua Pengarang Tribun Sumbar Andrian Tuswandi, Pengarah Langgam Andri Al Faruqi, Ketua Pengarang Padang Ekspres Rommi Delfiano dan Ketua Pengarang Harian Rakyat Sumbar Sukri Umar.

Khairul berkata lawatan penting itu antara lain membolehkan mereka mempelajari pelbagai perkembangan dalam media termasuk aspek penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu yang dihadapi media.

Sementara itu, Ketua Penyiaran Bahagian TV dan Radio Bernama Mohd Shukri Ishak berkata terdapat keperluan untuk kedua-dua pihak menghasilkan lebih banyak kandungan berita bertaraf serantau, mengambil kira Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.

“PT Semen bukan hanya sebuah industri yang besar berkaitan dengan simen di Indonesia tetapi juga mempunyai pemilikan media untuk radio, televisyen dan juga portal. Di situ, kita melihat peluang untuk  mengadakan program-program kerjasama sempena Malaysia menjadi pengerusi ASEAN. 

“...bermaksud terdapat keperluan untuk mengadakan lebih banyak kandungan bertaraf ASEAN yang memaparkan berita dan program untuk kepentingan kedua-dua negara dan diharap ia dapat dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.

Terdahulu, selain didedahkan dengan video sejarah penubuhan Bernama, delegasi itu turut dibawa melawat ke Jabatan Pengarang, Bernama TV, Digital Media dan Bernama Radio untuk melihat secara lebih dekat pengoperasian agensi itu.  

Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz, Ketua Radio Azlan Idris, Ketua TV Nor Hamzeela Md Hambali, Ketua Hal Ehwal Korporat Mariati Mohd Arif dan Editor Media Digital Noor Soraya Mohamad Jamal antara pengurusan Bernama yang menerima kunjungan delegasi berkenaan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan