EKONOMI

Malaysia Sedia Bekerjasama Dengan UNESCAP Promosi Pelaburan - Tengku Zafrul

08/10/2024 09:57 PM

Daripada Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 8 Okt (Bernama) -- Malaysia sedia meneroka peluang kerjasama dengan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) dalam mempromosi pelaburan dan pelaburan hijau.

Perkara itu disampaikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kepada Setiausaha Eksekutif UNESCAP Armida Alisjahbana dalam satu pertemuan, di sini hari ini, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan.

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia yang akan mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 2025, ingin bekerjasama dengan UNESCAP untuk inisiatif masa hadapan seperti Lawatan Kajian Agensi Promosi Pelaburan pada tahun depan.

Beliau turut menekankan kemajuan Malaysia dalam sektor perindustrian melalui beberapa dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan.

UNESCAP adalah satu daripada lima suruhanjaya serantau PBB yang mempromosikan pembangunan inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Suruhanjaya itu terlibat dengan ASEAN melalui pelbagai inisiatif seperti bengkel promosi pelaburan dan projek pelaburan hijau.

Tengku Zafrul tiba di Vientiane pada 6 Oktober untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula hari ini hingga 11 Oktober.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tiba di ibu negara Laos malam ini untuk menyertai sidang kemuncak berkenaan.

Selain ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN, pemimpin dari negara Rakan Dialog ASEAN dijangka turut hadir, antaranya Perdana Menteri China Li Qiang dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken.

Semasa Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025.

-- BERNAMA


 
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan