EKONOMI

Perdana Petroleum Raih Kontrak Bernilai RM19.1 Juta

08/10/2024 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Perdana Petroleum Bhd (PPB), melalui anak syarikat milik penuh Perdana Nautika Sdn Bhd (PNSB) menerima kontrak bernilai RM19.1 juta bagi membekalkan bot kerja penginapan kepada DESB Marine Services Sdn Bhd. 

DESB Marine Services adalah anak syarikat milik penuh Dayang Enterprise Holdings Bhd (Dayang), yang merupakan syarikat induk PPB.

Ia melibatkan dua kontrak yang bermula pada 1 Ogos, iaitu kontrak selama 153 hari dianggarkan bernilai RM13.3 juta dan kontrak 61 hari bernilai RM5.8 juta, kata syarikat penyedia kapal sokongan luar pesisir itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

“PNSB akan menyediakan bot kerja penginapan dengan krew dan peralatan untuk melaksanakan perkhidmatan 24 jam bagi membantu dan/atau menyelenggara pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir, tongkang derik, kerja-kerja tunda dan berlabuh,” kata PPB.

Penyewaan kapal itu adalah sebahagian daripada pakatan strategik antara kumpulan Dayang dan PPB di mana penggunaan kapal oleh Dayang boleh dimaksimumkan dan layak untuk membida bagi lebih banyak kerja-kerja penyelenggaraan luar pesisir, tambahnya.

PPB mendapat mandat daripada pemegang saham syarikat pada mesyuarat agung tahunannya yang diadakan pada 21 Mei, 2024 untuk menjalankan urus niaga berulang dengan pihak-pihak berkaitan sehingga RM100 juta.

Nilai urus niaga sejak itu, termasuk penyewaan kapal terkini mencecah RM40.49 juta, katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan