AM

Malaysia, Kuwait Setuju Konflik Di Timur Tengah Diselesaikan Secara Rundingan Damai

08/10/2024 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Kuwait bersetuju konflik yang sedang melanda rantau Timur Tengah khususnya di Palestin dan Selatan Lubnan perlu diselesaikan secara rundingan damai dan mematuhi resolusi yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan persetujuan itu dicapai, dalam pertemuan antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Perdana Menteri Kuwait Sheikh Dr Muhammad Sabah Al-Salem Al-Sabah, yang telah bertukar-tukar pandangan dan menyatakan kebimbangan berhubung konflik itu.

“Mohamed Khaled telah menghadap Sheikh Dr Muhammad Sabah di Istana Bayan, Kuwait ketika mengetuai delegasi Malaysia buat kali pertama sejak beliau menyandang jawatan tersebut, bagi lawatan kerja rasmi ke negara berkenaan bermula Ahad lepas sehingga Khamis.

“Kerjasama dua hala berkenaan penting bagi menyokong Tonggak Strategi Pertahanan Ketiga, iaitu ‘Perkongsian Berwibawa’ seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan yang menekankan kepentingan hubungan antarabangsa dalam memastikan keselamatan negara, kedaulatan serantau dan keamanan sejagat,” menurut kenyataan itu.

Selepas pertemuan itu, delegasi turut melawat Pangkalan Udara Ahmed Al-Jaber dan telah diraikan dalam majlis makan malam rasmi yang dihoskan Timbalan Perdana Menteri Kuwait Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah.

Semalam, Mohamed Khaled mengadakan kunjungan hormat ke atas Sheikh Fahad Yousef yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negara Kuwait, di Kementerian Pertahanan Kuwait.

“Pertemuan berkenaan amat signifikan dan berimpak tinggi buat kedua-dua Menteri Pertahanan dalam membincangkan usaha untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala dalam pelbagai bidang, seperti kerjasama ketenteraan, pertukaran maklumat dan sains, teknologi dan industri pertahanan.

“Kedua-dua negara kini di peringkat akhir rundingan ‘Memorandum of Understanding on Defence Cooperation’ untuk dimuktamadkan dan dijangka ditandatangani di Kuala Lumpur  pada tahun 2025,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Mohamed Khaled turut menyatakan hasrat memulakan rundingan bagi mengenal pasti kaedah perolehan pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik Kuwait Air Force (KAF) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dalam usaha mempertingkatkan keupayaan pertahanan udara Malaysia dan manfaat yang boleh menguntungkan kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan luar rantau khususnya berkaitan situasi keselamatan dan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan