DUNIA

Sidang Kemuncak ASEAN Bermula Di Laos

09/10/2024 12:59 PM

VIENTIANE, 9 Okt (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan, secara rasmi bermula pagi ini di Pusat Konvensyen Kebangsaan di Vientiane.

Perhimpunan dwitahunan pemimpin dari semua 10 negara anggota ASEAN itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.

Mengetuai delegasi Malaysia ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Selepas majlis perasmian itu, Anwar dijadual menyampaikan ucapannya semasa sesi pleno.

Perdana Menteri juga akan menyertai beberapa mesyuarat penting, termasuk sesi Pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-45, Sesi-sesi Suamuka antara Pemimpin-pemimpin dengan Wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Advisory Council – ABAC).

Selain itu, Anwar dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan wakil dari Timor-Leste dan Singapura hari ini.

Pada sebelah malam, Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud di Rumah Malaysia di Vientiane.

Edi Irwan, dalam taklimat bersama media Malaysia, menyebut bahawa sepanjang sidang kemuncak itu, Anwar juga akan terlibat dalam pertemuan dengan tujuh Rakan Dialog ASEAN, termasuk Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.

"Anwar akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.

Antara pemimpin dunia yang dijangka hadir ke sidang kemuncak itu ialah Perdana Menteri China Li Qiang, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken, Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov, Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba dan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol.

Sidang kemuncak itu akan berakhir pada 11 Oktober, dengan Laos akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia semasa majlis penutupan.

Pada majlis itu, Perdana Menteri Anwar dijadual menyampaikan ucapan, menggariskan visi Malaysia sebagai pengerusi ASEAN seterusnya, dan akan memperkenalkan logo baharu ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan