AM

MyRENTAS Rekod Hampir Dua Juta Pergerakan Di BSI

09/10/2024 03:03 PM

JOHOR BAHRU, 9 Okt (Bernama) -- Penggunaan sistem kod respons pantas (QR) menerusi aplikasi MyRENTAS di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini mulai 1 Jun lepas telah merekodkan hampir dua juta transaksi pergerakan pengguna.

Ketua Pegawai Operasi Jati Jana (M) Sdn Bhd Azril Rizal Abdullah berkata ia sekali gus berjaya mengurangkan tempoh menunggu bagi pengguna bas di laluan darat antara Malaysia dan Singapura itu pada waktu puncak iaitu dari 120 minit sebelum ini kepada 15 minit.

"MyRENTAS juga berjaya memendekkan masa pelepasan dari 30 ke 45 saat kepada kurang dari lima saat untuk seorang pengguna.

"Berdasarkan data statistik yang diperoleh, purata penggunaan MyRENTAS adalah 1:29, iaitu nisbah seorang pengguna menggunakan MyRENTAS sebanyak 29 kali sejak sistem ini diperkenalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata buat masa ini, pengembara menggunakan sistem kod QR menerusi aplikasi MyRENTAS di BSI, manakala aplikasi MyTRIP pula di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri.

Azril Rizal dalam pada itu berkata tempoh fasa pengujian daya maju atau bukti konsep (POC) keberkesanan pemeriksaan imigresen menggunakan sistem kod QR di BSI dan KSAB akan dilanjutkan sehingga November depan.

Beliau berkata ia bertujuan membolehkan Kementerian Dalam Negeri khususnya Jabatan Imigresen Malaysia melihat secara lebih mendalam keberkesanan sistem berkenaan dalam mempercepatkan proses pelepasan imigresen di pintu sempadan Malaysia-Singapura.

Pada 1 Jun lepas, JIM melancarkan MyRENTAS iaitu sistem kod QR rentas sempadan ke Singapura sebagai inisiatif jabatan itu bagi menangani masalah kesesakan di sempadan Malaysia-Singapura terutama di BSI dengan tempoh percubaannya adalah selama tiga bulan.

Sistem itu kemudiannya diberi lanjutan tempoh percubaan tiga bulan bermula September lepas yang merupakan antara inisiatif transformasi digital JIM bagi memudahkan rakyat Malaysia yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura setiap hari dengan sebahagian besarnya untuk bekerja.

Jati Jana merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan aplikasi MyRENTAS itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini dilapor berkata fasa pertama sistem kod QR itu melibatkan warganegara Malaysia di BSI dan KSAB bagi mod perjalanan bas dan motosikal.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan