EKONOMI

Ringgit Mengukuh Kepada 14.4 Peratus Berbanding Dolar AS, Antara Mata Wang Berprestasi Terbaik Di Peringkat Global

09/10/2024 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Ringgit merupakan antara mata wang yang sedang menunjukkan prestasi terbaik pada peringkat global, mengukuh kepada 14.4 peratus berbanding dolar AS pada suku ketiga 2024 dan 11.4 peratus pada asas sejak awal tahun sehingga kini, menurut Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia (BNM).

Mata wang tempatan dibuka lebih kukuh  kepada 4.2845/2950 dan meneruskan momentum menaiknya untuk ditutup kepada 4.2800/2830 berbanding dolar AS pada 6 petang hari ini berbanding paras penutup 4.2850/2895 pada Selasa.

Hal ini didorong terutamanya oleh pengurangan kadar dasar sebanyak 50 mata asas oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) serta trajektori yang lebih jelas mengenai pengurangan selanjutnya.

“Walaupun dengan prestasi yang lebih kukuh, mesyuarat mengambil maklum perkembangan utama yang menyokong prestasi positif berterusan ringgit termasuk usaha terselaras yang berterusan oleh kerajaan dan BNM untuk menggalakkan penghantaran balik dan penukaran pendapatan pelaburan asing oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat korporat.

“Ini telah menyumbang kepada mudah tunai pasaran pertukaran asing domestik yang mencukupi, yang mencatatkan purata jumlah dagangan harian sebanyak US$17.6 bilion,” jelasnya dalam ringkasan mesyuarat FMC BNM pada 1 Oktober yang dikeluarkan hari ini.

Ahli FMC juga menjelaskan bahawa pengaturan semasa boleh dikekalkan untuk memastikan mudah tunai yang lebih baik dalam pasaran pertukaran asing tempatan.

Selain itu, keyakinan kalangan pelabur terhadap Malaysia telah bertambah baik susulan pertumbuhan ekonomi negara yang teguh di samping komitmen berterusan kerajaan terhadap pembaharuan struktur. tambah FMC.

“Aliran masuk portfolio asing yang ketara juga diperhatikan pada suku ketiga 2024 berikutan prestasi KLCI yang kukuh dan spread Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)-Perbendaharaan Amerika Syarikat (UST) yang semakin normal.

“Mesyuarat juga berpendapat bahawa libat urus yang kerap bersama pelabur oleh pihak berkuasa membuahkan hasil dalam meningkatkan kesedaran pelabur mengenai Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik serta menekankan semula kepentingan dasar yang koheren dan konsisten secara berterusan,” menurut FMC.

Ahli mesyuarat juga berkongsi pemerhatian mengenai perubahan amalan syarikat korporat berikutan pemulihan ringgit.

“Dalam kalangan pengeksport, terdapat perubahan sentimen yang membawa kepada minat yang lebih besar untuk menukar hasil eksport, manakala pengimport juga telah mengurangkan kecenderungan untuk membeli secara berlebihan dengan membeli kuantiti yang diperlukan sahaja untuk aktiviti perniagaan,” tambah FMC.

FMC juga memaklumkan langkah untuk meningkatkan mudah tunai dan menambah jumlah pelabur dalam pasaran bon dan sukuk korporat juga dibincangkan.

Dalam tempoh terdekat ini, inisiatif penting termasuk pengenalan urus niaga bon dan sukuk korporat sebagai sebahagian daripada penilaian usaha pembangunan pasaran dalam rangka kerja “Principal Dealers” (PD); sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri yang utama bagi membiasakan pelabur bukan pemastautin dengan nama korporat dan struktur sukuk Malaysia selain bon kerajaan Malaysia.

Mesyuarat FMC pada 1 Oktober lepas telah membincangkan perkembangan terkini pasaran ringgit, diikuti dengan kemas kini mengenai inisiatif pembangunan pasaran termasuk peralihan KLIBOR serta strategi untuk mempertingkatkan pasaran bon dan sukuk domestik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan