AM

Video Tular Peniaga Cuci Kuali Guna Air Longkang Bukan Di Shah Alam - MBSA

09/10/2024 10:02 PM

SHAH ALAM, 9 Okt (Bernama) -- Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjelaskan video tular memaparkan seorang peniaga membasuh kuali dipercayai menggunakan air longkang tidak berlaku di kawasan pentadbirannya.

MBSA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan susulan itu, tindakan segera diambil dengan mengenal pasti lokasi gerai dan semakan mendapati gerai berkenaan bukan berada di bawah kawasan pentadbiran pihaknya.

“Pihak MBSA ingin menasihati orang ramai untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak sahih dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu kerana ia menjejaskan imej MBSA,” menurut kenyataan itu.

MBSA turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap para pengendali makanan yang tidak mematuhi peraturan kebersihan mengikut Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (Majlis Bandaraya Shah Alam) 2007.

Orang ramai juga diminta mengemukakan aduan kepada pihak MBSA melalui sistem pengurusan aduan awam SISPA jika terdapat pengendali dan premis makanan yang tidak menjaga kebersihan.

Semalam, tular di media sosial rakaman video yang menunjukkan seorang peniaga roti canai membasuh kuali dipercayai menggunakan air longkang sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan