DUNIA

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari, Jejaki Prestasi Wall Street

09/10/2024 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari Rabu, menjejaki prestasi positif Wall Street dalam keadaan penurunan harga minyak mentah dan ketegangan yang berterusan di Timur Tengah, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.96 mata atau 0.12 peratus kepada 1,637.58 daripada 1,635.62 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu, yang dibuka 2.04 mata lebih tinggi kepada 1,637.66, bergerak antara 1,635.90 hingga 1,642.29 sepanjang sesi dagangan pagi.

Bagaimanapun, bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 494 berbanding 463, manakala 485 kaunter tidak berubah, 982 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.95 bilion unit bernilai RM1.22 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Indeks Perindustrian Dow Jones (DJIA) AS meningkat 126 mata manakala Nasdaq melonjak 259 mata dengan hasil 10 tahun AS sedikit menurun kepada 4.01 peratus.

Beliau berkata pasaran kekal tidak mencukupi untuk memacu sebarang aktiviti dagangan yang meningkat walaupun jumlah dagangan harian menunjukkan sedikit peningkatan pada minit-minit terakhir semalam.

“Oleh itu, kami mengekalkan pandangan bahawa bursa tempatan masih terperangkap dalam fasa tidak banyak berubah dan indeks dijangka bergerak dalam julat 1,630 hingga 1,640 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata harga minyak mentah merosot apabila minyak mentah Brent susut hampir lima peratus kepada US$77 setong akibat kebimbangan terhadap permintaan yang lemah.

Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing meningkat enam sen kepada RM10.54 dan RM8.02, Tenaga Nasional melonjak 26 sen kepada RM14.44, manakala IHH Healthcare merosot tiga sen kepada RM7.22 dan Petronas Chemicals susut 16 sen kepada RM5.64.

Antara kaunter aktif, Crest Capital meningkat 1.5 sen kepada 36.5 sen, MY E.G dan Capital A masing-masing menokok setengah sen kepada 90.5 sen dan 96.5 sen, manakala 99 Speed Mart turun satu sen kepada RM2.45 dan Dagang Nexchange tidak berubah pada 38.5.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 22.93 mata kepada 12,291.80, Indeks FBMT 100 naik 28.55 mata kepada 11,991.32 dan Indeks FBM 70 menambah 94.44 mata kepada 17,549.24.

Indeks FBM Emas Syariah n naik 12.70 mata kepada 12,194.62, manakala Indeks FBM ACE susut 12.93 mata kepada 5,139.73.

Dari segi sektor, Indeks Perladangan merosot 40.73 mata kepada 7,172.89, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 1.90 mata kepada 175.72, Indeks Tenaga susut 16.61 mata kepada 879.17, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 56.10 mata kepada 19,258.44.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan