JENAYAH & MAHKAMAH

Suami, Isteri Ditahan Disyaki Curi Kelapa Sawit

09/10/2024 04:56 PM

JASIN, 9 Okt (Bernama) -- Sepasang suami isteri ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kes mencuri kelapa sawit di ladang milik sebuah syarikat perladangan di Merlimau di sini.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata pasangan berusia 26 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira 11.15 malam pada Isnin lepas di pekarangan Balai Polis Merlimau.

"Kejadian terbongkar selepas kereta jenis Proton Iriz yang dinaiki mereka dan mengangkut kelapa sawit yang dicuri itu terbabas dan terbakar.

"Siasatan awal mendapati pasangan itu disyaki terlibat dengan kes kehilangan 30 tandan kelapa sawit yang dilaporkan seorang polis bantuan syarikat perladangan pada 3 Okt lepas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Jamil berkata kejadian itu disedari pengadu selepas melihat kesan mencurigakan pada 21 pokok kelapa sawit. 

Beliau berkata jumlah kerugian dianggarkan RM500 dan polis juga merampas sebilah sabit serta hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik. 

"Suspek lelaki ditahan reman empat hari hingga 11 Okt manakala suspek wanita ditahan tiga hari hingga esok. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan