AM

MCMC Lantik Badan Penasihat Kaji Pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012

09/10/2024 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah melantik badan penasihat bagi meneliti kewajaran untuk meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihak perunding akan mengambil masa lapan hingga 12 bulan untuk menyiapkan laporan mengenai kesesuaian pindaan, sejajar dengan perubahan semasa dalam industri pos dan kurier.

"Jika semuanya berjalan lancar, ia akan mengambil sedikit masa untuk menyediakan draf undang-undang tersebut…maka pindaan itu mungkin kita dapat saksikan paling awal pada 2026,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia 2024 di sini hari ini.  

Fahmi berkata kementerian bersama MCMC komited memastikan perkhidmatan pos dan kurier mengalami transformasi seiring dengan perkembangan zaman selain menekankan kepentingan meningkatkan khidmat pelanggan serta menyelesaikan isu dihadapi pengguna dengan segera.

Beliau berkata pihak perunding akan melakukan analisis menyeluruh terhadap sektor syarikat pengeposan dengan mengambil kira perkembangan terkini dalam sektor itu seperti media sosial dan perniagaan melalui media sosial, kerana banyak aspek penghantaran pakej dan bungkusan kini melibatkan elemen media sosial.

Fahmi turut menyarankan semua syarikat penghantaran dan logistik memanfaatkan teknologi seperti kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan khidmat pelanggan dan keberkesanan operasi mereka.

"Saya percaya kita boleh memantapkan penggunaan tenaga kerja untuk menjadikan pekerjaan lebih efisien dan pada masa sama meningkatkan mutu perkhidmatan.

"Saya tidak lihat ada keperluan untuk membuang pekerja dengan memanfaatkan AI. Sebaliknya tenaga kerja boleh disesuaikan dengan peranan baharu seperti penganalisis data,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa AI tidak mungkin menggantikan tenaga kerja manusia sebaliknya hanya akan merubah skop dan jenis pekerjaan. 

Terdahulu, dalam ucapannya Fahmi mengumumkan Pos Malaysia akan menerima 1,112 motosikal elektrik (e-bike) dan 347 van elektrik (e-van) secara berkelompok mulai bulan ini hingga Januari tahun depan.

Menurutnya, Pos Malaysia sebelum ini mengambil langkah penting ke arah kelestarian dengan 200 e-bike dan 143 e-van telah beroperasi di Semenanjung Malaysia selain 16 lokasinya telah dipasang dengan panel solar fotovoltaik (PV) yang dapat membekalkan tenaga kepada 2.5 hingga 3 juta rumah sehari.

Beliau berkata Pos Malaysia juga mempunyai 15 panel solar yang beroperasi sepenuhnya setakat ini dan terdapat enam stesen pengecasan EV telah dipasang.

Fahmi turut mengumumkan pelancaran terbaharu armada Kenderaan Elektrik Pos Malaysia selari dengan matlamat nasional untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan pembangunan lestari.

Pada majlis itu, beliau juga menyampaikan anugerah perkhidmatan lama kepada 16 pekerja Pos Malaysia yang telah berkhidmat dengan syarikat selama 35 tahun dan ke atas.

Sambutan bertemakan '150 Tahun Memudahkan Komunikasi dan Memperkasakan Rakyat Merentasi Sempadan' itu turut menyaksikan pelancaran set setem kenang-kenangan khas sempena Hari Pos Sedunia pada harga RM50.50.

Ia didatangkan dalam folder terdiri daripada lembaran setem, miniatur, sampul Hari Pertama dengan setem dan sampul Hari Pertama dengan lembaran miniatur yang boleh didapati di semua Biro Filateli Pos Malaysia, termasuk 13 Pejabat Pos Besar seluruh negara, dan dalam talian di https://shop.pos.com.my.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan