JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Tahan Tiga Lelaki Termasuk Pemilik Syarikat Penghantaran Minta Rasuah RM15,000

09/10/2024 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan tiga individu termasuk seorang pemilik syarikat penghantaran kerana disyaki meminta rasuah sebagai dorongan bagi mengurangkan cukai import barangan kosmetik.

Sumber SPRM memaklumkan ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu direman empat hari hingga 12 Okt ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar, pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis sekitar 8 hingga 10 malam, semalam.

Mereka dipercayai meminta rasuah kira-kira RM15,000 daripada seorang pemilik syarikat kecantikan sebagai dorongan bagi mengurangkan cukai import barangan kosmetik.

“Siasatan awal mendapati suspek utama yang bertugas sebagai Eksekutif Operasi di sebuah syarikat penghantaran dipercayai meminta rasuah kira-kira RM15,000 daripada seorang pemilik syarikat kecantikan dengan alasan untuk diberikan kepada pegawai agensi penguat kuasa bagi mengurangkan kadar cukai import barangan kosmetik yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya.

Sumber berkata suspek kedua dan ketiga, masing-masing pemilik dan pekerja syarikat penghantaran itu turut ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kes berkenaan.

Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan