BERITA TERGEMPAR   Flood preparation: 459 PPS identified in Kelantan, capable of accommodating more than 100,000 victims - MB | 
 AM

Rusia Setuju Tambah Bilangan Biasiswa Untuk Pelajar Malaysia - Zambry

10/10/2024 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan Rusia bersetuju untuk meningkatkan jumlah biasiswa bagi pelajar Malaysia daripada 20 orang kepada 40 orang setiap tahun, menurut Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata keputusan ini dicapai dalam Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal, dan Kebudayaan (JCESTC) yang diadakan di St. Petersburg, Rusia, susulan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Vladivostok pada awal September lalu.

“Ini (penambahan bilangan biasiswa) juga yang diusulkan oleh Sergey Lavrov, Menteri Luar Rusia ketika berkunjung ke Malaysia dan bertemu dengan Perdana Menteri penghujung Julai lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Zambry berkata perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu menyentuh berhubung cadangan meningkatkan hubungan dalam pendidikan termasuklah pendidikan rendah dan tinggi kedua-dua negara.

“Ini termasuklah meningkatkan lagi jumlah pelajar Malaysia di Rusia dan pelajar Rusia di Malaysia. Data terkini menunjukkan seramai 617 pelajar Malaysia berada di Rusia dan mengambil kursus seperti perubatan, kejuruteraan, minyak dan gas dan teknologi marin.

“Selain daripada pertukaran pelajar, program ini turut akan melibatkan para pensyarah, penyelidik dan juga penjawat awam untuk sama-sama meningkatkan kemahiran yang dimiliki oleh Malaysia dan Rusia,” katanya.

Zambry mengetuai delegasi Malaysia untuk Mesyuarat Ketiga JCESTC, yang turut disertai wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Warisan (MOTAC), Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Digital.

Delegasi Rusia pula diketuai oleh Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi, Valery Falkov.

“JCESTC kali ketiga berjaya mengukuhkan lagi hubungan mesra dan strategik antara Rusia dan Malaysia. Persetujuan yang dicapai semasa mesyuarat ini meletakkan asas untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk kewangan, pertanian, pendidikan dan kemajuan teknologi,” katanya.

Zambry berkata Rusia turut membangkitkan beberapa perkara baharu yang boleh dibangunkan bersama iaitu kajian mendalam mengenai mineral yang dipelopori Saint Petersburg Mining University yang mahu bekerjasama dengan universiti di Malaysia.

“Peluang ini akan digunakan sebaiknya memandangkan Saint Petersburg Mining University antara universiti terbaik di dunia dalam kajian mineral,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia dan Rusia bersetuju untuk memperkemas semua dokumen dan perjanjian bilateral yang telah dimeterai sebelum ini, yang melibatkan kerjasama antara kementerian dan agensi kedua-dua negara.

“Perkara lain yang turut dibincangkan ialah mengkaji dengan lebih mendalam bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan secara terus dari Rusia ke Malaysia. Keadaan ini juga selari dengan usaha menarik lebih ramai pelancong Rusia ke Malaysia dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Zambry berkata antara perkara yang turut diberi penekanan dalam Mesyuarat Ketiga JCESTC adalah menubuhkan Kursi Pengajian Melayu di Rusia; kerjasama kewangan dan perbankan; serta keterjaminan makanan dan produk agrikultur.

Mengenai isu pelaburan, beliau berkata kedua-dua negara bersetuju untuk menggalakkan peningkatan perdagangan dua hala dengan mengenal pasti peluang pasaran baharu, menambah baik akses pasaran dan memudahkan pelaburan langsung.

“Memandangkan tenaga terus memacu ekonomi kita, mesyuarat bersetuju agar kerjasama dalam kedua-dua sektor tenaga tradisional dan boleh diperbaharui. Ini termasuk menggalakkan inovasi dalam teknologi tenaga bersih, sejajar dengan matlamat kemampanan kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata isu halal turut dibangkitkan Rusia yang berharap supaya Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membantu pengiktirafan sijil halal di Rusia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan