AM

Kunjungan Pensyarah, Pelajar China Ke Sekolah: Program Pertukaran Budaya, Sukan - Fadhlina

10/10/2024 05:18 PM

KEPALA BATAS, 10 Okt (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini menjelaskan kunjungan 165 pensyarah dan pelajar dari Naval University of Engineering China ke Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) ke sini merupakan program pertukaran budaya dan sukan.

Beliau berkata terdapat kesilapan maklumat yang disebarkan di media sosial, kerana kunjungan tersebut bukan dibuat oleh Tentera Laut China, namun ia melibatkan pelajar universiti dan sekolah persendirian tersebut.

“Saya mahu tegaskan bahawa ia adalah program sempena Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China.

“Keduanya, ia adalah program pertukaran budaya dan sukan antara universiti serta sekolah persendirian itu, yang telah mendapat kebenaran rasmi dari pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan di sini hari ini.

Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan selama empat hari bermula 7 Okt yang bertemakan 'Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani' itu dihadiri 674 pengetua sekolah menengah dari seluruh negara.

Fadhlina berkata KPM memberikan perhatian penuh terhadap isu tersebut dan bagi mengelakkan salah faham serta fitnah berpanjangan, pihak sekolah yang terlibat telah membuat laporan polis.

Terdahulu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya berkata, soal ancaman kedaulatan negara tidak timbul susulan kehadiran dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pulau Pinang itu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata kapal perang dari negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat, China, India dan dari destinasi lain juga akan berlabuh di pelabuhan Malaysia, semuanya mengikut protokol yang dikendalikan Wisma Putra dan dalam pengetahuan Kementerian Pertahanan.

Sabtu lepas Pulau Pinang mengumumkan kedatangan 1,000 orang dari China ke negeri itu dengan Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, untuk kunjungan silaturahim.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan