BERITA TERGEMPAR   Flood preparation: 459 PPS identified in Kelantan, capable of accommodating more than 100,000 victims - MB | 
 EKONOMI

Indeks Harga Seunit Besi Jatuh 0.6 Peratus Kepada 5.7 Peratus Pada September 2024 - DOSM

10/10/2024 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Indeks harga seunit besi menurun sebanyak 0.6 peratus kepada 5.7 peratus membabitkan hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada September 2024 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan khas bagi kerja-kerja bangunan dan struktur untuk September 2024, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan tertinggi adalah di Perak (-5.7 peratus), diikuti Kota Kinabalu (-2.3 peratus), manakala Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (-1.7 peratus).

Selain itu, indeks harga unit keratan keluli dan logam susut 0.1 peratus kepada 2.7 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, dengan kejatuhan tertinggi di Miri (-2.7 peratus), diikuti Sibu (-2.4 peratus) serta Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (-1.6 peratus).

Mohd Uzir berkata indeks harga seunit pasir meningkat 0.5 peratus kepada 1.3 peratus bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia pada September.

"Bagaimanapun, kadar kenaikan indeks harga bahan ini adalah rendah sedikit berbanding dua bulan sebelum ini," katanya. 

"Selain itu, indeks harga seunit simen juga bertambah 0.1 peratus kepada 0.9 peratus bagi hampir semua kawasan pada September berbanding bulan sebelumnya," tambahnya lagi.

Menurut Mohd Uzir, indeks harga seunit simen menokok sebanyak 0.2 peratus kepada 2.9 peratus dari tahun ke tahun pada September merangkumi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Kenaikan tertinggi dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (2.9 peratus), diikuti Pahang (2.7 peratus) dan Tawau (2.2 peratus).

"Selain daripada itu, perbandingan tahunan indeks harga seunit besi pula mencatatkan penurunan antara - 0.1 peratus hingga - 4.2 peratus pada September 2024 berbanding bulan yang sama tahun lalu bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

Purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan penurunan kecil (-0.4 peratus) dengan purata harga RM23.23 per 50 sekilogram sekarung berbanding Ogos 2024 (RM23.33 per 50 sekilogram sekarung). 

Manakala, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan 'Mycon 60 high tensile deformed bars' merekodkan penurunan (-1.0 peratus) dengan purata harga RM3,667.96 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Ogos 2024: RM3,705.37 untuk setiap tan metrik).

Sementara itu, Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) dengan bar keluli untuk semua kategori bangunan merosot sebanyak - 0.4 peratus kepada 2.3 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia pada September 2024 berbanding bulan sebelumnya.

Penurunan IKB dengan bar keluli direkodkan untuk hampir semua kategori bangunan kecuali bangunan kayu dan cerucuk kayu di beberapa kawasan di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak , Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, IKB dengan bar keluli naik sejumlah 0.1 peratus hingga 0.3 peratus bagi beberapa kategori bangunan di Johor dan Pahang.

Selain daripada itu, IKB termasuk bar keluli di Sabah juga turut menunjukkan penurunan iaitu antara - 0.1 peratus hingga - 1.1 peratus merangkumi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu dan Sandakan. Selain daripada itu, IKB untuk hampir semua kategori bangunan di Tawau pula kekal tidak berubah.

Perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli di Sarawak pada September 2024 juga mencatatkan penurunan kecil antara - 0.1 peratus hingga - 0.9 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching dan Miri.

Manakala IKB termasuk bar keluli untuk hampir semua kategori bangunan di Sibu pula mencatatkan peningkatan kecil iaitu antara 0.7 peratus hingga 1.4 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan