AM

Warga Kementerian Komunikasi Digesa Tidak Jadikan Isu Kesihatan Mental Satu Stigma - Fahmi

10/10/2024 03:18 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Warga kerja Kementerian Komunikasi digesa untuk tidak menjadikan isu kesihatan mental sebagai satu stigma dan membantu rakan mereka yang terkesan agar kembali bangkit, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

"Saya tahu sebelum ini pun saya menyebut (kesihatan mental) bukan untuk menormalkan tapi untuk kita membiasakan bahawa hari ini dengan pemahaman tentang aspek kesihatan dan psikologi yang lebih mendalam, kita harus melihat dan mendampingi kawan-kawan yang mungkin hadapi tekanan ataupun masalah kesihatan mereka.

"Supaya dengan keberadaan kita di samping mereka, mereka akan dapat dan berupaya untuk menangani (tekanan), tugas-tugas dapat dilaksanakan, ketenteraman dalam pejabat pun terjaga," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Oktober 2024, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata pendedahan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bahawa terdapat kemungkinan lebih 40,000 kakitangan awam di negara ini yang berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi dan mental ekoran kegagalan menangani tekanan di tempat kerja, adalah satu perkara yang cukup membimbangkan.

Sempena Hari Sukan Negara, beliau juga mengingatkan warga kerja kementerian supaya turut menjaga kesihatan fizikal termasuk menjalani saringan kesihatan.

Fahmi turut menyeru agensi penerangan dan penyiaran di bawah kementerian seperti Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan dan Jabatan Komunikasi Komuniti agar dapat meningkatkan mesej kepada umum tentang kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan