BERITA TERGEMPAR   Flood preparation: 459 PPS identified in Kelantan, capable of accommodating more than 100,000 victims - MB | 
 AM

Tabung Kasih@HAWANA Diperluas, Bantu Rakan Media Terjejas Ekonomi - Fahmi

10/10/2024 03:15 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mahu Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan bagi menyantuni petugas media yang memerlukan, diperluas fungsinya bagi membantu kumpulan itu yang terkesan dari segi ekonomi.

Beliau berkata terdapat pengamal media yang terkesan dengan kepantasan perkembangan teknologi seperti kehilangan pekerjaan atau tidak dibayar gaji.

"Saya juga minta supaya pihak Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang bertanggungjawab atas Tabung Kasih@HAWANA untuk membantu mana-mana wartawan yang mungkin terkesan sama ada mereka dilepaskan ataupun terkesan akibat kehilangan pekerjaan dalam kalangan organisasi media.

"Memang sebelum ini kita ada usahakan (bantu rakan media) tapi setelah saya dapat maklumat ada sejumlah organisasi yang akan terkesan, ada yang mungkin akan hilang beberapa orang wartawan…saya akan cuba berbincang dengan pemilik (organisasi media) apa yang boleh diusahakan, dibantu," katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan Oktober 2024, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi turut mengingatkan organisasi media supaya tidak mengabaikan kebajikan pekerja termasuk melunaskan gaji mereka yang berhak.

Sementara itu, semasa berucap di hadapan warga kementerian, Fahmi berkata beliau cukup terkesan apabila mendapat berita mengenai rakan media yang saban hari berdepan keadaan yang merisaukan.

"Apa yang saya maksudkan, sebelum ini saya pernah sebut bahawa perbelanjaan pengiklanan untuk media di Malaysia dianggarkan berkurangan dari RM4.5 biliion kepada RM2 bilion setahun. Kehilangan RM2.5 bilion ini menyaksikan syarikat-syarikat membuat pengiklanan terus melalui media sosial dan tidak melalui syarikat-syarikat media seperti kelaziman.

"Apakah kesannya? Syarikat-syarikat media kecil, besar dan gergasi yang kita rasakan kalis perubahan zaman, semua terkesan," katanya sambil menambah kerajaan terutama pihak kementerian sedang berusaha sedaya upaya membantu media mengemudi perubahan masa kini.

Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bagi menyantuni wartawan dan petugas media yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan menerusi Bernama sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu serta menyantuni wartawan dan petugas media yang masih dalam perkhidmatan atau telah bersara.

 Selain itu, Fahmi berkata Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media Malaysia akan dibentangkan bagi bacaan kali pertama dalam sidang Parlimen yang bermula 14 Okt ini.

"Dalam sidang Parlimen kali ini kita akan masukkan untuk bacaan kali pertama, sekiranya semua berjalan lancar, bagi RUU Majlis Media Malaysia dan sehingga majlis ini terbentuk sekurang-kurangnya kita berharap ada beberapa perkara yang dapat dibantu segera, termasuk melalui mewujudkan geran yang mungkin untuk sedikit transformasi perubahan.

"Sebab kita tahu sebuah syarikat besar seperti Google membantu mengadakan sesi latihan untuk lebih daripada 30 organisasi media tapi itu mungkin akan memakan masa, jadi saya akan teliti apa yang boleh kita bantu pada kadar segera untuk rakan-rakan media," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan