AM

Bapa Mangsa Tidak Sangka Tragedi Sama Berulang

10/10/2024 04:16 PM

DUNGUN, 10 Okt (Bernama) -- Bapa kepada Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, 20, yang maut selepas motosikal diboncengnya dirempuh kereta dipandu wanita dipercayai kurang siuman, tidak menyangka kejadian sama dialami anak sulungnya turut menimpa anak bongsunya.

Jamaludin Hussein, 53, dari  Kampung Pandan, Kuala Lumpur berkata beliau kehilangan anak lelaki sulungnya tujuh tahun lepas akibat nahas jalan raya.

Oleh itu, pemergian Khairil Anwar mengingatkan beliau kembali kepada kesedihan dulu apatah lagi kemalangan berkenaan terjadi pada bulan yang sama.

"Saya dah tak ada anak lelaki … dua-dua meninggal dunia dalam kemalangan. Arwah abangnya meninggal dunia pada 3 Okt 2017.

 "Sekarang tinggal  tiga anak perempuan. Walaupun sedih saya reda dan terima takdir Allah. Semoga anak-anak saya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun di sini hari ini.

Jamaludin yang bekerja di sebuah institusi kewangan berkata kali terakhir beliau bersama arwah ketika menghantarnya pulang ke Kampus Dungun, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada minggu lepas. 

Beliau arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara namun beria-ia untuk belanja ibunya makan.

"Minggu lepas saya hantar dia untuk memulakan pengajian di semester tiga. Tak ada perubahan apa-apa cuma dia nak belanja mak dia makan, beli emas dan bergambar.

"Kami sempatlah rasa air tangan dia sehari sebelum pulang ke kampus. Dia masak nasi goreng dan muat naik video di Instagram," katanya.

Jenazah Allahyarham Khairil Anwar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di Ampang, Selangor.

Sementara itu, rakan sebilik Khairil Anwar, Muhammad Hazarul Ashwaq Azhar, 20, seakan sukar mempercayai akan kehilangan tiga rakan baik dalam sekelip mata.

Beliau berkata arwah ada mengajaknya untuk makan malam bersama tetapi menolak ajakan itu kerana penat.

"Saya diminta oleh polis untuk mengecam mangsa yang meninggal dunia. Ketika lihat motosikal dan mayat bergelimpangan terasa sungguh sedih dan luluh hati saya," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 7.35 malam tadi, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun yang menunggang dan membonceng motosikal  maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera selepas dirempuh sebuah kereta berdekatan dengan kampus berkenaan. 

Pemandu kereta berkenaan iaitu wanita berusia 49 tahun dan berasal dari Kampung Sura Tengah dipercayai kurang siuman serta direman empat hari bermula hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan