EKONOMI

Public Bank Cadang Ambil Alih 44.5 Peratus Pegangan Dalam LPI Capital Bernilai RM1.72 Bilion

10/10/2024 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Public Bank Bhd bercadang untuk mengambil alih 44.15 peratus daripada kepentingan ekuiti dalam LPI Capital Bhd untuk pertimbangan tunai berjumlah RM1.72 bilion atau RM9.80 sesaham.

Berikutan cadangan pengambilalihan itu, Public Bank diwajibkan memberi tawaran pengambilalihan mandatori (MGO) bagi kepentingan ekuiti selebihnya dalam LPI yang belum lagi dimiliki oleh bank itu. 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tan Sri Tay Ah Lek berkata pengambilalihan itu akan melengkapkan perkhidmatan kewangan semasa bank itu, menyediakan tawaran perkhidmatan yang lebih komprehensif.

“Cadangan pengambilalihan ini juga selari dengan rancangan kumpulan untuk berkembang bukan hanya secara organik, malah melalui pengambilalihan strategik untuk memperluas tawaran produk dan perkhidmatan kami.

"Ini akan membolehkan kumpulan mengembangkan lagi perkhidmatan di Vietnam dan akhirnya ke negara Indochina," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Public Bank selaku kumpulan perbankan ketiga terbesar negara mengikut aset, mempunyai rizab tunai sebanyak RM12.4 bilion.

Sehingga 8 Okt 2024, permodalan pasaran LPI Capital adalah RM5.2 bilion manakala nilai pasaran Public Bank berjumlah RM88.7 bilion.

LPI Capital, iaitu 42.74 peratus milik Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd (syarikat pelaburan persendirian oleh pengasas Public Bank mendiang Tan Sri Teh Hong Piow), memiliki sepenuhnya syarikat insurans am Lonpac Insurance Bhd.

Tay menekankan bahawa cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan Public Bank mewujudkan operasi yang kukuh dalam sektor insurans am Malaysia, menyediakan perkhidmatan pelengkap kepada perkhidmatan kewangan sedia ada dan tawaran takaful keluarga.

Beliau berkata pengambilalihan Kumpulan LPI adalah peluang unik untuk Public Bank memacu wawasan ke arah “Model Perbankan Universal” yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan yang komprehensif serta produk dan perkhidmatan berkaitan yang lain di bawah kumpulan sama.

“Dengan rangkaian sedia ada kami iaitu lebih 260 cawangan di seluruh negara, Kumpulan LPI boleh memanfaatkan dan memperluas saluran pemasaran serta mengembangkan perniagaan insurans amnya di Malaysia.

“Kami juga menyasarkan untuk memanfaatkan rangkaian jualan dan pemasaran LPI untuk meningkatkan capaian kepada pelanggan,” katanya.

Selain jualan silang secara bersama, Tay berkata kedua-dua syarikat itu akan turut meninjau kemungkinan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan bersepadu bagi memenuhi keperluan kewangan dan insurans pelanggan masing-masing.

“Kami yakin dapat mencapai sinergi perniagaan dan menerajui pertumbuhan Public Bank dan LPI dalam masa terdekat serta memajukan trajektori pertumbuhan,” katanya.

CEO Public Investment Bank Lee Yo-Hann berkata Public Bank telah menerima kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia berhubung cadangan pengambilalihan kepentingan itu yang dijangka selesai menjelang suku pertama 2025.

Memandangkan pengambilalihan ini membabitkan transaksi pihak berkaitan, bank itu akan mendapatkan kelulusan pemegang saham bebas dalam mesyuarat agung luar biasanya (EGM) kelak.

“Jika EGM meluluskannya, Public Bank mempunyai obligasi melanjutkan MGO tanpa syarat untuk baki kepentingan ekuiti dalam LPI yang tidak dimilikinya,” katanya.

Lee berkata pengambilalihan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan akan datang bank berkenaan serta mempercepat anjakan kumpulan perbankan itu ke arah model perbankan sejagat, menawarkan kelebihan daya saing menerusi fleksibiliti harga lebih ketara, penyepaduan produk serta keselamatan pelanggan.

“Kami juga berharap ini dapat membantu meningkatkan pendapatan bukan faedah selain mengurangkan risiko daripada kadar faedah,” katanya.

Lee juga menyifatkan prospek industri itu kekal cerah, disokong oleh pertumbuhan ekonomi serta pertambahan populasi yang dapat mendorong permintaan bagi insurans am.

Beliau berkata peningkatan jualan kenderaan serta aktiviti pembinaan akan turut merangsang permintaan insurans motor dan kebakaran manakala kesedaran kesihatan yang ketara, kos perubatan dan kejadian berkaitan faktor cuaca akan memacu permintaan bagi produk-produk insurans.

“Bagi kemajuan masa depan, Lonpac akan menumpukan keupayaan teknologi maklumatnya bagi memacu aspek kecekapan serta pengautomasian.

“Selain itu, kami juga merancang untuk melancarkan produk-produk insurans hijau bagi menepati keperluan aset yang menumpukan kemampanan selain memanfaatkan jaringan agensi, broker insurans dan kerjasama global untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Pada akhir dagangan Selasa lepas, saham Public Bank naik satu sen kepada RM4.57 dengan 12.18 juta saham diniagakan manakala saham LPI Capital meraih 22 sen kepada RM13.00 dengan 68,100 saham saling berpindah tangan.

Dagangan kedua-dua saham itu akan disambung semula pada jam 9 pagi, 11 Okt 2024.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan