AM

Takaful Malaysia Lancar Pelan Perlindungan Dalam Talian Kaotim Car, Kaotim Motor

10/10/2024 07:46 PM

GEORGE TOWN, 10 Okt (Bernama) -- Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) melancarkan Kaotim Car dan Kaotim Motor, pelan perlindungan dalam talian terbaharu serta komprehensif yang ditawarkan pada harga berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia Nor Azman Zainal berkata dengan pelancaran produk tersebut, pemilik kenderaan dapat mengakses pelan perlindungan secara pantas mengikut keperluan, sekali gus memilih faedah tambahan yang sesuai berdasarkan bajet.

"Pelancaran Kaotim Car dan Kaotim Motor adalah sebahagian daripada langkah strategik kami untuk mengukuhkan kedudukan dalam insurans dan takaful motor yang telah menunjukkan pertumbuhan positif.

"Strategi ini selaras dengan permintaan dan peningkatan jualan kenderaan dan kami berhasrat  memperluas langkah dengan menawarkan pelbagai pelan perlindungan dalam talian untuk memenuhi keperluan pelanggan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kaotim Car dan Kaotim Motor di Batu Ferringhi di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia Datuk Mohammed Hussein dan turut dihadiri Pengerusi Takaful Malaysia Am (Bahagian Takaful Am Takaful Malaysia) Ismail Mahbob.

Nor Azman berkata Takaful Malaysia memperkenalkan Kaotim Car dan Kaotim Motor di bawah jenama Kaotim dengan kedua-dua produk baharu tersebut menyediakan perlindungan komprehensif mampu milik serta mudah diakses yang membolehkan pelanggan mendapatkan sebut harga dan perlindungan yang sesuai.

"Kaotim Car merupakan perlindungan komprehensif bagi kenderaan persendirian terhadap pelbagai risiko, termasuk kerosakan akibat kemalangan, kebakaran, kecurian, liabiliti kepada pihak ketiga atau kerosakan harta benda selain menawarkan bantuan 24 jam serta perkhidmatan tunda tanpa had akibat kerosakan secara percuma," katanya.

Beliau berkata Kaotim Car turut menyediakan perlindungan kemalangan peribadi untuk pemandu serta penumpang dan terdapat 11 faedah tambahan yang fleksibel termasuk Motor PA Plus yang menawarkan perlindungan tambahan terhadap kematian atau keilatan kekal akibat kemalangan jalan raya.

Kaotim Motor pula menawarkan perlindungan motosikal komprehensif terhadap kerosakan akibat kemalangan, kebakaran, kecurian, serta liabiliti kepada pihak ketiga untuk kematian, kecederaan badan dan kerugian atau kerosakan harta benda.

Nor Azman berkata perkhidmatan bantuan bahu jalan 24 jam dengan perkhidmatan tunda akibat kerosakan secara percuma turut disediakan dan pihaknya menyasarkan sumbangan jualan bagi segmen Kaotim Motor bagi tempoh tiga bulan terakhir tahun ini sebanyak RM10 juta.

Beliau berkata pelanggan boleh menambah baik perlindungan mereka dengan memilih mana-mana daripada empat faedah tambahan termasuk Bike PA Plus iaitu perlindungan kemalangan peribadi terhadap kematian atau keilatan kekal akibat kemalangan jalan raya.

Dengan Kaotim Car pula, katanya pelanggan dapat menikmati pelan ansuran untuk bayaran sumbangan tanpa faedah, diskaun serta-merta 10 peratus dan perlindungan kemalangan peribadi percuma RM15,000 untuk setiap individu yang dilindungi.

“Bagi Kaotim Motor, ia menawarkan diskaun serta-merta 10 peratus perkhidmatan tunda akibat kerosakan dan perlindungan untuk semua penunggang yang dibenarkan serta kesemua manfaat bagi kedua-dua pelan baharu tersebut tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan