JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Perak Rampas 617 Alat Ganti, 518 Eksesori Telefon Bimbit Tiruan

11/10/2024 10:53 AM

IPOH, 11 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas sebanyak 617 unit alat ganti serta 518 unit aksesori telefon bimbit tiruan yang dianggarkan bernilai RM26,430 dalam serbuan di lima premis sekitar Ipoh, Sitiawan, dan Manjung semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan tersebut dilakukan berdasarkan aduan dan maklumat daripada wakil pemilik cap dagang yang mengesyaki terdapat penjualan alat ganti dan aksesori telefon bimbit berjenama terkenal yang dipercayai tiruan di semua premis tersebut.

“Wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan yang dirampas, dan didapati bahawa premis tersebut mungkin telah melanggar Akta Cap Dagangan 2019.

“Semua barangan dan dokumen yang dirampas telah disita untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamalludin menegaskan bahawa pihaknya memandang serius isu ini dan komited untuk melindungi hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan yang dijalankan secara berterusan di semua premis yang menjual barangan berjenama.

“Inisiatif ini bertujuan membanteras penjualan barang tiruan dan seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur, terutama di Perak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan