DUNIA

Malaysia Bersiap Ambil Alih Jawatan Pengerusi ASEAN

11/10/2024 11:20 AM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

VIENTIANE, 11 Okt (Bernama) -- Malaysia akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN semasa majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi akan menerima penyerahan jawatan Pengerusi ASEAN daripada Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone semasa acara itu, menandakan peralihan bagi Malaysia untuk menerajui ASEAN pada 2025.

Anwar dijangka menyampaikan ucapan ringkas yang menggariskan visi dan keutamaan Malaysia untuk ASEAN pada 2025 pada majlis penutup.

Sebelum penyerahan itu, Anwar bersama pemimpin sembilan negara anggota ASEAN yang lain dijangka mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-12 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane.

Topik utama yang dijangka dibincangkan pada sidang kemuncak itu termasuk isu Laut China Selatan, perkembangan di Myanmar, serta situasi terkini di Palestin dan Timur Tengah.

Anwar juga akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Asia Timur ke-19, Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-14, dan Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia ke-2.

Di antara mesyuarat peringkat tinggi itu, Anwar dijadualkan menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri Luxembourg Xavier Bettel sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.

Mengiringi Perdana Menteri Anwar pada persidangan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sebelum berlepas dari Vientiane dan pulang ke Malaysia, Anwar akan mengadakan sidang media untuk membincangkan hasil sidang kemuncak itu dan peranan Malaysia selaku pengerusi ASEAN yang akan datang.

Jawatan Pengerusi ASEAN oleh Malaysia akan bermula secara rasmi pada 1 Januari 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan