AM

Pertukaran Cuti Hujung Minggu Tidak Seharusnya Jadi Bahan Politik - Onn Hafiz

11/10/2024 01:05 PM

JOHOR BAHRU, 11 Okt (Bernama) -- Kerajaan Johor berpandangan pertukaran cuti hujung minggu yang akan dilaksanakan kepada Sabtu dan Ahad pada 1 Jan 2025, tidak seharusnya menjadi bahan politik yang boleh mengeruhkan keadaan sehingga menjejaskan keharmonian di negeri itu.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata setiap keputusan yang diambil adalah yang terbaik untuk negeri dan rakyat secara keseluruhan.

Beliau berkata kerajaan negeri menjunjung titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas pengumuman penukaran cuti berkenaan.

“Insya-Allah, tanpa mengenepikan kepentingan urusan solat Jumaat, kerajaan negeri yakin keputusan ini bakal memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor, dan mereka akan mendapat lebih masa berkualiti bersama ahli keluarga tersayang dengan memudahkan mereka merancang aktiviti hujung minggu.

“Saya berharap agar tidak ada lagi mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi, kenyataan dan menjadikan ia bahan politik yang boleh mengeruhkan keadaan sehingga menjejaskan keharmonian negeri Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Onn Hafiz berkata perkara itu turut mendapat pandangan Mufti Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, yang mana ketertinggian Islam tidak sedikit pun berkurang apabila Johor tidak lagi bercuti pada hari Jumaat bermula Januari depan.

“Jika kita merenung firman Allah SWT di dalam Surah Al-Jumuah ayat sembilan hingga 10, kita akan lebih tenang dalam memberi ulasan perihal yang sama.

“Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung,” katanya.

Beliau berkata inti pati firman tersebut memerintahkan umat Islam memperbesarkan syiar Islam dengan segera meninggalkan segala urusan bagi menunaikan solat Jumaat, serta diperintahkan untuk kembali bertebaran (termasuk kembali bekerja atau melakukan amal ibadah juga jariah) di atas muka bumi mencari apa yang dihajati, selagi bertepatan dengan landasan Islam.

Semalam Tunku Mahkota Ismail menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda bertitah, jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi serta hendak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang  bercuti Jumaat dan Sabtu.

  Tunku Mahkota Ismail bertitah pertukaran cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad dibuat atas pertimbangan dan kehendak rakyat untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga serta memberi kesan ekonomi positif seiring pelaksanaan projek pembangunan yang akan memberi manfaat, sekali gus membawa keuntungan kepada negeri dan rakyat.

Baginda bertitah, pertukaran itu dibuat dengan keizinan dan restu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, pandangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan