AM

Santuni MADANI: Bernama Beri Pendedahan Bidang Kewartawanan, Tingkat Literasi Media Komuniti

11/10/2024 11:57 AM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan memberikan pendedahan mengenai bidang kewartawanan sebagai kerjaya masa depan kepada komuniti Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat di Sepang menerusi Program Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni MADANI), esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi, Bernama akan berkongsi pengetahuan dan literasi media di samping melaksanakan pelbagai program secara berperingkat kepada komuniti kampung berkenaan bagi meningkatkan kemahiran, mencungkil bakat dan menyerlahkan potensi mereka dalam bidang berkaitan.

"Kita mungkin tidak pakar dalam perkara tertentu seperti kesihatan dan sebagainya tetapi di peringkat Bernama saya melihat inilah masanya untuk kita turun padang memperkenalkan Bernama dan memberitahu orang ramai fungsi dan peranan kita yang membawa suara kerajaan, suara rakyat.

"Kita hendak orang ramai mengenali kita (dari segi) bagaimana melaksanakan pekerjaan dan kita mahu mengambil peluang untuk mendedahkan kepada umum mengenai bidang kewartawanan itu sendiri kerana selain memberikan pendedahan, kita juga mahu memberikan kesedaran bagaimana untuk melihat berita itu secara positif," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Nur-ul Afida berkata pihaknya komited mendukung aspirasi kerajaan menerusi program itu sebagai usaha meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat setempat.

Beliau berkata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu selaku Ahli Parlimen Sepang dijangka merasmikan program berkenaan yang akan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin.

Dijadualkan bermula 8 pagi esok, antara aktiviti bakal dianjurkan termasuk pameran reruai, bengkel Bahasa Inggeris, bengkel penulisan, sudut bacaan, cabutan bertuah, uji bakat pengacaraan televisyen dan radio selain program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Nur-ul Afida turut berharap program yang dibawa Bernama dapat membantu pembelajaran anak-anak terutama dalam penguasaan Bahasa Inggeris.

"Seramai 80 petugas kita terlibat dan saya harap penduduk Kampung Batu Laut dan kampung sekitar akan datang memeriahkan lagi program ini esok," katanya. 

Program Santuni MADANI bertujuan meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat termasuk mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk menerusi pemantauan secara langsung serta libat urus membabitkan Ahli Jemaah Menteri, pimpinan tertinggi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan