SUKAN

10,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan Kejohanan Sukan Udara 2024

11/10/2024 03:17 PM

SERDANG, 11 Okt (Bernama) -- Lebih 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan suasana penganjuran Kejohanan Sukan Udara 2024 selama tiga hari di Taman Expo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) anjuran Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) bermula hari ini.

Presiden MSAF Mohd Nurhaqimy Ismail berkata kejohanan dianjurkan buat julung kalinya di tanah air ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih mendalam tentang sukan udara yang kian mendapat sambutan positif dari dalam mahupun luar negara.

"Secara keseluruhan kita anggarkan dalam 10,000 orang esok dan Ahad ini pada kejohanan sempena Festival Sukan Udara 2024 itu di sini. Daripada segi penyertaan peserta dalam kejohanan sahaja melebihi 1,500 orang.

"Kita harap jumlah itu meningkat, lagi-lagi apabila ia dibuat di MAEPS dengan mereka sendiri boleh menyaksikan satu kelainan dipaparkan menerusi pameran berkaitan sukan udara di sini selain kejohanan dipertandingkan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata lebih 40 gerai pameran melibatkan jabatan dan agensi turut dibuka selain pameran aset dan jentera oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengunjung juga berpeluang melihat acara-acara menarik yang dipertandingkan seperti paramoto, paragliding, aeromodelling dan dron, kata beliau.

Tambah beliau, mereka dalam masa sama boleh merasai pengalaman menaiki pesawat kecil dua tempat duduk selain menikmati pemandangan indah daripada belon udara panas pada festival itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan