EKONOMI

MPC Lancar Panduan Untuk EV, Bateri Untuk Keselamatan Dan Perlindungan Ekosistem

11/10/2024 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah melancarkan garis panduan pengurusan bateri serta kenderaan elektrik (EVBM) untuk memastikan keselamatan awam, perlindungan alam sekitar dan kemampanan ekosistem EV Malaysia. 

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata dengan mengutamakan pengendalian yang selamat, pengangkutan dan pelupusan bateri EV, kerajaan bukan sahaja akan melindungi alam sekitar tetapi juga meningkatkan produktiviti dengan mewujudkan rangka kerja bagi pihak berkepentingan yang lebih cekap dan mampan.

"Garis panduan ini memberikan faedah yang jelas untuk industri serta negara. Paling penting, garis panduan yang dibangunkan industri kami mengutamakan keselamatan dan tanggungjawab alam sekitar melalui amalan terbaik dalam pengendalian serta pengangkutan bateri litium EV, kami mahu pastikan bahaya kebakaran dan letupan dapat dicegah.

"Pendekatan ini juga akan meminimumkan kesan alam sekitar, membantu kami membuat penyelarasan dengan standard global mengenai kelestarian sambil melindungi komuniti dan alam sekitar kami. Inisiatif ini adalah hasil usaha kolaboratif di seluruh industri," katanya semasa berucap pada pelancaran garis panduan itu

Acara tersebut diadakan sempena Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau & Produk Eko Malaysia 2024 di sini hari ini. 

Pembangunan garis panduan itu, yang diketuai oleh Northport (Malaysia) Bhd dengan kerjasama perniagaan dan pengawal selia di seluruh ekosistem EV, difasilitasi oleh MPC dengan sokongan daripada Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Garis panduan itu menyediakan rangka kerja bagi pengawalseliaan kendiri industri dalam memastikan pengurusan bateri EV dan EV yang selamat serta mampan.

Hairil berkata input serta maklum balas berharga daripada perniagaan, pengguna dan pengawal selia telah digabungkan untuk memastikan garis panduan itu komprehensif, berkesan dan mencerminkan keperluan serta kebimbangan pihak berkepentingan.

"Garis panduan ini bukan sahaja mengenai mengekalkan standard tetapi juga tentang pemacuan keyakinan pasaran. Dengan mematuhi piawaian tertinggi ini, kami memberi isyarat kepada pasaran bahawa kami komited ke arah kecemerlangan. Ini seterusnya akan meningkatkan pertumbuhan industri dan produktiviti, memupuk sektor pengurusan EV serta bateri yang lebih mantap, lebih berdaya tahan," katanya.

MITI menyokong penuh garis panduan EVBM disebabkan ianya menawarkan perniagaan, rangka kerja yang jelas untuk mengurus EV serta bateri dengan selamat dan mampan.

Pelancaran garis panduan ini merupakan langkah penting ke arah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau untuk mobiliti elektrik selain menarik pelaburan teknologi hijau masa depan, katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC Zahid Ismail berkata garis panduan itu akan memperkasakan industri untuk mengawal secara kendiri, menjadikan pematuhan lebih mudah termasuk memberi kebebasan agar perniagaan mampu menumpukan pada peningkatan produktiviti dan daya saing.

"Dengan mengawal amalan kawal selia mereka, syarikat boleh mengekalkan standard keselamatan serta alam sekitar yang lebih baik sambil memacu inovasi dan pertumbuhan," katanya.

Garis panduan EVBM dijangka menjadi alat asas untuk perniagaan dalam sektor EV, membolehkan mereka memenuhi keperluan keselamatan, alam sekitar dan peraturan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan