AM

Kursi Pengajian Melayu Ditubuhkan Di Universiti Rusia

11/10/2024 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Kursi Pengajian Melayu akan ditubuhkan di sebuah universiti di Rusia bagi memperkasakan pengajian Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Zambry yang berada di St Petersburg, Rusia bagi mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan Ke-3 (JCESTC 2024) berkata beliau dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia Valery Falkov bersetuju dengan cadangan itu.

“Hal ini akan dibincangkan  lanjut di peringkat lebih tinggi sebelum dimuktamadkan.

“Ini juga bertepatan dengan kedudukan Bahasa Melayu yang menjadi satu program dan kursus  ditawarkan di beberapa universiti terkemuka di Rusia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Zambry berkata pengisian pembelajaran kursus berkenaan termasuk berkaitan kesusasteraan Melayu, sejarah Melayu serta latar belakang Melayu dan Nusantara.

Pada masa sama, beliau berkata Kursi Pengajian Melayu yang ditubuhkan itu akan membantu memartabatkan lagi Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dengan beberapa kerjasama yang ditambah baik antara kerajaan Rusia dan Malaysia.

“Saya juga mengemukakan cadangan untuk menghantar lebih banyak pensyarah dan guru bahasa kita ke Rusia, dan pada masa sama menjemput pensyarah dari Rusia untuk menjalani kursus di Malaysia dan mengenal lebih lanjut budaya kita,” katanya.

Sebelum ini, Kursi Pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ditubuhkan di beberapa institusi seluruh dunia seperti BFSU di China, Ohio University (Amerika Syarikat), Leiden University (Belanda), Victoria University (New Zealand) dan Hankuk University of Foreign Studies di Korea Selatan.

Zambry mengetuai delegasi Malaysia ke JCESTC 2024, yang turut disertai wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Digital.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan