EKONOMI

Malaysia Komited Teroka Peluang Perniagaan Baharu Di Laos

11/10/2024 11:16 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

VIENTIANE, 11 Okt (Bernama) -- Malaysia komited untuk meneroka peluang perniagaan baharu di Laos yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara selain berhasrat untuk meningkatkan kerjasama dua hala, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Perdana Menteri berkata sektor itu termasuk pertahanan, perbankan dan kewangan, pendidikan, pelancongan dan sumber manusia.

"Malaysia menyambut baik bermulanya perkhidmatan Kereta Api Ekspres ASEAN yang menghubungkan Malaysia dan China melalui Thailand dan Laos, yang akan memudahkan pergerakan penumpang dan barangan, dan berpotensi meningkatkan perdagangan antara ASEAN," kata beliau.

Anwar sebelum itu mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di sini.

Malaysia turut komited untuk menyediakan kursus latihan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) kepada Laos untuk pembinaan kapasiti.

Malaysia selaku pengerusi yang seterusnya turut mengucapkan tahniah kepada Sonexay atas kepimpinan cemerlang Laos sebagai pengerusi ASEAN 2024.

Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri Luxembourg Xavier Bettel. Kedua-dua negara bersetuju untuk terus bekerjasama dalam bidang teknologi kewangan termasuk kewangan Islam selain farmaseutikal, aeroangkasa dan perbankan.

Anwar turut mengucapkan tahniah berikutan penyertaan Luxembourg dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara.

Perjanjian itu ditubuhkan pada 1976 yang mengandungi prinsip universal kewujudan bersama secara sukarela dan kerjasama mesra dalam kalangan negara Asia Tenggara. Ia adalah kod yang mengikat secara sah bagi hubungan antara negara di rantau ini dan di luarnya.

Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada Jumaat di Vientiane, sebagai tanda berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta mesyuarat berkaitan.

Majlis penutupan itu melambangkan perpindahan kepimpinan blok serantau itu, membuka laluan untuk Malaysia meneraju ASEAN pada 2025.

Malaysia sebelum ini pernah menggalas jawatan sebagai pengerusi pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 dianggotai oleh 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam. 

-- BERNAMA 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan