DUNIA

Ringgit Dijangka Diniagakan Berhati-hati Minggu Depan

12/10/2024 10:25 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati dan kekal tidak berubah berbanding dolar US minggu depan dalam persekitaran kembimbangan terhadap ekonomi China dan risiko geopolitik dan menjelang Belanjawan 2025.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pembentangan Belanjawan 2025 dijadualkan berlangsung pada Jumaat depan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi tumpuan utama.

"Belanjawan 2025 harus menyediakan beberapa hala tuju yang jelas kerana kerajaan berkemungkinan akan terus komited untuk mengurangkan jurang belanjawan kepada empat peratus pada 2025, ia boleh menjadi positif daripada perspektif agensi penarafan kredit (CRA), pada masa sama ia akan mengubah kedudukan neutral kepada positif untuk prestasi ringgit minggu depan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata faktor luaran telah memacu prestasi ringgit dan mungkin terus mempengaruhi sentimen terhadap mata wang tempatan bagi beberapa minggu akan datang.

Beliau berkata faktor pemacu luaran, sentimen risiko global, ketegangan Timur Tengah dan trajektori ekonomi China akan terus menentukan pergerakan ringgit.

"Sekiranya China melancarkan pakej rangsangan bertujuan untuk meningkatkan penggunaan, ia boleh mencetuskan peralihan bermakna bagaimanapun buat masa ini dengan ketegangan geopolitik berpanjangan, pasaran nampaknya kekal memilih dolar US, namun jika China memberikan rangsangan kukuh minggu depan, ringgit dijangka akan meningkat," katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendag berbanding dolar US untuk minggu yang baru berakhir selepas beberapa data ekonomi AS menunjukkan bahawa ekonomi AS mahu mengelak kemelesetan, 

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit merosot berbanding dolar US kepada 4.2865/2910 daripada 4.2155/2240 sebelumnya.

Ia juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan jatuh berbanding euro kepada 4.6886/6935 daripada 4.6484/6578 minggu lepas, merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8780/8812 daripada 2.8779/8839 dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.6016/6075 daripada 5.5505/5617 sebelum ini.

Bagaimanpun, ringgit didagangkan kebanyakannya rendah berbanding beberapa mata wang ASEAN.

Ia menguncup berbanding dolar Singapura kepada 3.2824/2861 daripada 3.2489/2557 dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.8504/8704 daripada 12.7549/7861 seminggu sebelumnya.

Ringgit merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 275.1/275.5 daripada 272.1/272.9 minggu lepas dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.49/7.50 daripada 7.49/7.51 sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan