JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Kelantan Tahan 36 Pendatang Tanpa Izin Dalam Op Bersepadu

12/10/2024 09:00 PM

KOTA BHARU, 12 Okt (Bernama)-- Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan telah menahan 36 pendatang tanpa izin dalam operasi penguatkuasaan pada Khamis lepas.

Timbalan Pengarah Imigresen Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata mereka ditahan dalam Op Bersepadu sekitar Ketereh hasil kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan penguatkuasa Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam.

“Bertindak hasil risikan dan maklumat, pasukan operasi menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing di Kampung Chenderong Beta, Kampung Kubang Tin dan sebuah asrama di Kedai Mulong serta beberapa rumah sekitar Melor di sini.

“Susulan operasi, seramai 26 warga Myanmar termasuk tujuh perempuan telah ditahan. Selain itu, enam lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Kemboja dan seorang lelaki warga Indonesia juga berjaya ditahan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua warga asing yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Nik Akhtarulhaq berkata pemeriksaan mendapati kebanyakan warga asing terbabit memiliki kenderaan serta memandu dan menunggang tanpa lesen sah. 

Beliau berkata susulan  itu, JPJ Kelantan turut menyita kenderaan terbabit.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan