JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak Perempuan Hilang Ketika Ambil Makanan Di Kereta, Ditemukan Selamat, Dipercayai Diculik

13/10/2024 03:11 PM

SHAH ALAM, 13 Okt (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, 8 Okt lalu ditemui dalam keadaan selamat, kira-kira 2.30 petang semalam. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kanak-kanak berusia 12 tahun itu dilihat sedang berjalan kaki sebelum menaiki sebuah kereta berwarna hitam, dipercayai diculik dari penjagaan yang sah. 

Beliau berkata susulan itu, sepasukan polis cawangan D8, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan, telah menahan enam individu warga tempatan di Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran kira-kira 5 petang semalam. 

“Menerusi penahanan itu, polis juga merampas sebuah kenderaan berwarna hitam dipercayai digunakan semasa kejadian. 

“Semakan terhadap kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 13 hingga 24 tahun tersebut mendapati seorang daripada mereka mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya, kes tersebut telah diklasifikasikan semula kepada Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. 

“Permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dipohon di hadapan Majistret Mahkamah Klang pada hari ini,” katanya. 

Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak itu dilaporkan hilang, selepas turun untuk mengambil makanan daripada kereta yang diparkir di bawah kediamannya di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1 di Klang. Siasatan awal mendapati dia disuruh ibunya, untuk berbuat sedemikian sekitar 2.20 petang 8 Okt lalu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan