AM

EPIC Berhad, MRL Tandatangan MoU Perkasa Ketersambungan Pantai Timur

13/10/2024 04:12 PM

KUALA TERENGGANU, 13 Okt (Bernama) -- Syarikat anak kerajaan negeri Terengganu Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC Berhad) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengintegrasikan operasi syarikat dengan rangkaian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Berhad Muhtar Suhaili berkata MoU tersebut menggariskan komitmen kedua-dua pihak untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pengangkutan dan pengendalian kargo khususnya, terutamanya di laluan sambungan Pelabuhan Kemaman.

Beliau berkata perkongsian kepakaran dua pihak dalam bidang rel dan pelabuhan dijangka membuka peluang komersial baharu, meningkatkan saling hubung serantau dan mendorong pertumbuhan ekonomi di Terengganu, selari dengan pelan induk pembesaran Pelabuhan Kemaman.

"Projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km) dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang bakal memainkan peranan penting sebagai jambatan darat yang menghubungkan hab industri utama serta membuka laluan terus antara Laut China Selatan dan Selat Melaka.

"Pengintegrasian laluan ke Pelabuhan Kemaman pula akan melancarkan pergerakan kargo, mengurangkan kos pengangkutan dan memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai pemain industri terkemuka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhtar berkata EPIC Berhad dan MRL juga berharap dapat menjalin kerjasama lebih erat, melangkah lebih jauh dan meneroka lebih banyak peluang dalam bidang kepakaran masing-masing.

Beliau berkata gabungan lokasi strategik Pelabuhan Kemaman, sebuah pelabuhan laut dalam yang beroperasi sepanjang tahun tanpa mengira keadaan cuaca, kepelbagaian portfolio perniagaan EPIC Berhad dan rangkaian ECRL termasuk ke pusat ekonomi Lembah Klang akan membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua pihak.

"Ia akan meningkatkan kecekapan logistik, memperkukuh laluan perdagangan dan meletakkan Terengganu sebagai pemain utama dalam sektor pengangkutan," katanya.

EPIC Berhad yang ditubuhkan pada 1981 merupakan syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas berintegrasi untuk rantaian huluan dan hiliran.

Perniagaan teras EPIC Berhad termasuk perkhidmatan pangkalan industri minyak dan gas luar pesisir,  pengurusan pelabuhan, kejuruteraan dan perkhidmatan marin serta kejuruteraan dan penyelenggaraan.

Selain itu, kumpulan itu turut terlibat dalam industri tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau bagi menyokong usaha negara ke arah mencapai ekonomi rendah karbon serta cekap sumber.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan