AM

Kerajaan Kenal Pasti Kelemahan Pentadbiran Pastikan Penjawat Awam Lebih Cekap

13/10/2024 04:36 PM

PETALING JAYA, 13 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan mengenal pasti kelemahan dalam pentadbiran negara untuk memastikan penjawat awam dapat menjalankan tugas dengan lebih cekap.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sentiasa memantau kelemahan pentadbiran dan mendapati perkhidmatan awam di negara ini masih tidak memuaskan.

"Ketua Setiausaha Negara baru dilantik dapat memberikan tekanan yang sangat kuat...saya sendiri memantau," katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ke-78 di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata pemantauan yang dilakukan antaranya di hospital, sekolah dan berkaitan permohonan pendaftaran serta lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

"Semua ini, bila kita dengar belum memuaskan walaupun ada perubahan, masih ada kebocoran...sebab itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) saban hari tangkap kerana rasuah itu ada. Bila rasuah, itu (menyebabkan) kos perniagaan meningkat," katanya.

Sementara itu, Anwar turut menegaskan proses kelulusan bagi projek perumahan juga perlu disegerakan tanpa sebarang penangguhan hanya disebabkan bayaran tertentu.

Beliau percaya bahawa dengan menjalankan tugas secara cekap, kerajaan dapat menjimatkan jutaan ringgit.

Anwar berkata bahawa ini adalah cabaran dan tanggungjawabnya bersama rakan-rakan dalam Jemaah Menteri untuk memastikan perubahan dalam pentadbiran kerajaan Malaysia.

"...keadaan sekarang bukan hendak sebut saya ketuai kerajaan tetapi pergi mana-mana orang melihat (kepada) kerajaan Malaysia sekarang (sudah) ada perubahan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan