AM

Tuanku Zara Rasmi UPSI Sports Bowl, Pusat Boling Pertama Dalam IPT

14/10/2024 02:23 PM

TANJUNG MALIM, 14 Okt (Bernama) -- Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan UPSI Sports Bowl bertempat di UPSI Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Aezer Zubir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI Holdings Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti bacaan doa sebelum baginda menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak.

Seusai majlis, Tuanku Zara berkenan melepaskan 3,000 peserta dalam kalangan pelajar dan kakitangan UPSI bagi acara Millenia Pink Fun Walk yang diadakan bertujuan menyokong sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun.

Selain itu, Tuanku Zara juga berkenan meluangkan masa ke UPSI Sports Bowl yang merupakan pusat sukan boling 24 lorong pertama dibina dalam institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Md Amin dalam ucapannya berkata lebih RM200,000 sebulan dijana melalui kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung ke UPSI Sports Bowl yang beroperasi sepenuhnya sejak 16 Sept lepas.

Beliau berkata industri sukan yang dicetuskan melalui UPSI Sports Bowl berkenaan juga dilihat berpotensi mewujudkan pelbagai peluang sosioekonomi dari sudut pengurusan, penyelenggaraan dan penganjuran acara.

“Dilengkapi dengan 24 lorong bertaraf antarabangsa, UPSI Sports Bowl menjadi lokasi tumpuan aktiviti riadah keluarga, anak muda dan pengunjung setempat.

“Impak ini sedikit sebanyak telah meletakkan nama Muallim dan UPSI sebagai destinasi wajib dikunjungi. Dari sudut ekonomi ia mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan peluang pekerjaan, perniagaan dan industri sukan di Perak,” katanya.

Dalam pada itu,  beliau berkata UPSI turut berharap kemudahan berkenaan dapat digunakan sebaiknya dalam membentuk jaringan kepakaran sukan boling, mengetengahkan bakat-bakat muda serta penubuhan akademi boling bertaraf antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan