EKONOMI

MDEC Sasar Kerjasama Teknologi, Bandar Pintar Di GITEX Global 2024

15/10/2024 12:50 AM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) — Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah berhubung dengan Majlis Penyelidikan Teknologi Termaju (ATRC) Abu Dhabi untuk meneroka kerjasama dalam pendidikan dan pembangunan teknologi di Pameran Teknologi Maklumat Teluk (GITEX) Global 2024.

Majlis yang terkenal dengan penyelidikan termaju dalam kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan serta kuantum itu, akan mewujudkan kerjasama dengan universiti Malaysia bagi menyepadukan modul teknologi canggih ke dalam kurikulum mereka, kata Ketua Pecutan Industri Digital MDEC Wan Murdani Wan Mohamad.

“Perkongsian ini dijangka akan menambah baik sistem pendidikan kita dan membuka pasaran Abu Dhabi kepada firma teknologi Malaysia. 

“Kami membincangkan potensi untuk mencipta penyelesaian bersama dengan AI71, sebuah syarikat yang dibangunkan oleh majlis tersebut, ini membolehkan firma-firma digital Malaysia menangani permintaan dalam pasaran Emiriyah Arab Bersatu (UAE),” katanya kepada Bernama selepas beberapa sesi pertemuan di GITEX Global 2024.

MDEC juga telah mengenal pasti penyelesaian bandar pintar sebagai salah satu pelaburan yang berpotensi, berikutan perbincangan dengan Jabatan Teknologi Maklumat (DIT) Bandar Moscow.

Beliau menjelaskan delegasi Rusia akan melawat Malaysia pada November nanti untuk meneroka inisiatif bandar pintar selain mencari padanan perniagaan dengan firma tempatan.

“Moscow agak maju dalam penyelesaian bandar pintar dan kami teruja untuk melihat peluang yang menanti syarikat Malaysia. 

“Delegasi mereka akan membawa beberapa syarikat ke Malaysia bagi pelaburan berpotensi termasuk perkongsian di perbandaran pintar dan kami sedang bersiap sedia untuk memudahkan perkongsian ini,” katanya lagi.

Beliau seterusnya memberitahu perbincangan itu adalah sebahagian daripada misi MDEC yang lebih luas untuk mengukuhkan ekosistem digital Malaysia melalui kerjasama antarabangsa dan dijangka mampu meningkatkan infrastruktur bandar pintar negara serta mempercepatkan pertumbuhan sektor.

Penyertaan MDEC di GITEX Global 2024, acara teknologi terbesar di dunia yang berlangsung mulai 14 hingga 18 Okt di Pusat Dagangan Dunia Dubai (DWTC ) mencerminkan komitmennya untuk meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk digital ke ASEAN melalui perkongsian global.

Berjalan serentak, Expand North Star 2024 (ENS 2024), pameran pemula niaga dan pelaburan terbesar di dunia, dari 13 hingga 16 Okt di Dubai Harbour, turut menampilkan 15 syarikat Malaysia di pavilion seluas 120 kaki persegi yang diketuai oleh MDEC.

Dengan lebih 6,500 syarikat pempamer, 1,800 syarikat pemula niaga serta 1,200 pelabur dari lebih 180 negara, acara ini ditetapkan untuk memacu teknologi AI generasi akan datang.

– BERNAMA  

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan