AM

Ahmad Zahid Sampaikan Kenyataan Negara Di APMCDRR Di Manila Esok

14/10/2024 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan kenyataan negara di Persidangan Peringkat Menteri Asia-Pasifik ke-10 bagi Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) di Manila, Filipina esok.

Ahmad Zahid yang berada di Filipina sempena lawatan tiga hari telah mempengerusikan sesi pre-council bersama delegasi Malaysia sejurus tiba di negara itu hari ini.

"Saya turut mendengar taklimat disampaikan oleh Datuk Abdul Malik Melvin Castelino, Duta Besar Malaysia ke Filipina tentang perjalanan sepanjang lawatan kerja saya di sini.

"Sepanjang perbincangan, saya menekuni agenda dan menyelaraskan keutamaan diplomatik, terutamanya dalam pengurusan bencana. Tumpuan saya adalah untuk merancang strategi bersesuaian dan memastikan kerjasama serantau ditingkatkan," katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Delegasi Malaysia ke mesyuarat itu termasuk Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berharap lawatan berkenaan dapat memantapkan hubungan serantau dan menjadi platform untuk bertukar pandangan serta pengalaman demi memastikan komuniti lebih bersedia dan berdaya tahan menghadapi risiko bencana.

Difahamkan Timbalan Perdana Menteri akan menyampaikan kenyataan negara berhubung inisiatif, pelaksanaan, pencapaian dan cabaran dalam melaksanakan Kerangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana (SFDRR) 2015-2030.

Selain itu,  Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. dan Naib Presiden Sara Duterte semasa lawatan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan