EKONOMI

Belanjawan 2025: Peruntukan Pelancongan Lebih Besar Tarik Pengunjung Ke Malaysia - Fernandes

15/10/2024 03:58 PM

PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- AirAsia berharap Belanjawan 2025 akan menawarkan lebih banyak inisiatif yang dilaksanakan bagi mempromosi dan menonjolkan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu tidak menjangkakan insentif khas untuk penerbangan, sebaliknya berharap peruntukan belanjawan yang lebih besar untuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Beliau berkata pelancongan adalah penyumbang besar kepada ekonomi dan ia boleh bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang lebih menarik.

"Matlamat utama saya adalah untuk bekerjasama dengan Malaysia Airports, yang perlu lebih cekap dan berdaya saing dari segi kos. Kami memerlukan mereka untuk membantu kami dengan pengiklanan.

"Saya tidak menyasarkan kepada sebarang insentif khusus (dalam Belanjawan 2025), (sebaliknya) membawa lebih ramai pengunjung ke Malaysia dan mengiklankan Malaysia dengan lebih baik adalah penting," katanya pada sesi taklimat media pasca mesyuarat agung luar biasa Capital A semalam serta rancangan pelan pertumbuhan di sini, hari ini. 

Fernandes berkata kerajaan mempunyai banyak keutamaan dalam Belanjawan 2025 dan penggiat industri sewajarnya mengelak daripada mentaliti mengenai insentif dan subsidi.

"Saya ingin melihat peruntukan dalam belanjawan memacu ekonomi. Bagaimana kita boleh menjadikan cukai pergi lebih jauh daripada memberi subsidi bahan api dan sebagainya," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat.

Dengan tema “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera,” ia adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Fernandes optimis ASEAN boleh meraih lebih banyak pencapaian berikutan tumpuan serantau Perdana Menteri dan hubungan beliau dengan semua pemimpin blok itu.

Beliau berkata tema persidangan tahun lepas adalah meningkatkan kesalinghubungan dan daya tahan, dan ini telah membawa kepada kesalinghubungan digital dan logistik.

Sehubungan itu, lebih banyak tumpuan perlu diberikan untuk memudahkan urusan perniagaan di ASEAN, di samping perlunya diwujudkan manfaat apabila syarikat ASEAN membuat pelaburan serantau.

Beliau turut mencadangkan kemungkinan untuk syarikat di ASEAN meningkatkan modal bukan sahaja dalam satu pasaran malah di seluruh rantau ini.

"Ini semua berkenaan mewujudkan persekitaran menjalankan perniagaan di ASEAN agar lebih mudah. ​​Berada dalam Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) memberikan saya keyakinan bahawa terdapat keikhlasan dalam usaha untuk mewujudkan pasaran ASEAN," katanya.

Malaysia akan mempengerusikan ASEAN secara rasmi berkuat kuasa 1 Jan 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kelestarian."

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan