AM

Belanjawan: Sabah Dijangka Terus Terima Peruntukan Bagi Pembangunan Luar Bandar - Hajiji

15/10/2024 06:47 PM

KOTA KINABALU, 15 Okt (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah dijangka terus menerima peruntukan bagi pembangunan luar bandar dalam Belanjawan 2025 untuk merapatkan jurang dengan kawasan bandar.

Beliau berkata peruntukan itu adalah bagi menambah baik kemudahan asas khususnya dalam menangani isu berkaitan sekolah dan klinik daif.

“Bagi tujuan ini, tumpuan akan diberikan untuk memastikan akses penuh kepada kemudahan asas khususnya jalan raya, bekalan air bersih terawat dan elektrik,” katanya pada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji juga berkata kerajaan akan terus memfokus kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat merangkumi penyediaan perlindungan sosial untuk semua lapisan masyarakat, pekerjaan dengan gaji lebih baik serta langkah dan dasar yang bakal menyaksikan pengagihan kekayaan negara secara adil.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah optimis Belanjawan 2025 akan membawa Malaysia lebih dekat untuk merealisasikan Ekonomi MADANI dengan kerjasama semua rakyat Malaysia.

Hajiji berkata Belanjawan 2025, yang akan dibentang Jumaat ini adalah kerangka hala tuju jangka panjang ekonomi Malaysia bagi meningkatkan siling potensi negara dan tahap kualiti kehidupan rakyat selaras dengan temanya iaitu 'Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera'.

Beliau turut menyeru semua agensi dan jabatan agar menilai prestasi masing-masing sepanjang suku ketiga tahun ini.

“Agensi dan jabatan di Sabah perlu berupaya meneroka peluang untuk meningkatkan prestasi projek pembangunan negeri,” katanya.

Hajiji juga berkata projek pembangunan Persekutuan seperti sekolah dan klinik boleh dilaksana tanpa menunggu hak milik tanah dikeluarkan jika ia telah diwartakan untuk tujuan itu.

“Sekiranya tanah diperlukan untuk membina sekolah dan klinik, kerajaan negeri akan memudahkan bagi mengelakkan sebarang kelewatan dalam pelaksanaan projek,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan