EKONOMI

Belanjawan 2025: SME Bank Harapkan Langkah Sokongan Lonjak Pertumbuhan PKS

15/10/2024 06:34 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- SME Bank Bhd menyeru kerajaan menetapkan langkah strategik untuk menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menumpukan kepada kemampanan, daya tahan kewangan dan transformasi digital menerusi Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan Jumaat ini.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim menjangkakan Belanjawan 2025 menyediakan langkah komprehensif dan padu untuk sejajar dengan matlamat kerajaan meningkatkan ekonomi negara dan menambah baik kualiti hidup rakyat.

Beliau menekankan peranan penting institusi kewangan terutama institusi kewangan pembangunan (DFI) dalam pembangunan ekonomi.

“SME Bank berdiri sebagai satu-satunya DFI di Malaysia dengan menyediakan pembinaan kapasiti khusus melalui anak syarikat kami, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) yang telah memberikan manfaat kepada lebih 82,000 usahawan, majoritinya daripada perusahaan mikro,” katanya kepada Bernama.

SME Bank juga terlibat secara proaktif dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengenai pengumuman belanjawan tahunan, termasuk Belanjawan 2025.

 

Memperluas bantuan kewangan kepada segmen afirmatif

 

Bagi 2025, SME Bank menyasar untuk memperluas bantuan kewangan kepada segmen yang perlu diberikan penekanan termasuk sektor pelancongan, pengangkutan, pendidikan, pembinaan, penjagaan kesihatan dan pembuatan kerana semua itu memerlukan sokongan tambahan untuk mengharungi iklim semasa.

“Perluasan keperluan pembiayaan dan skim jaminan kerajaan adalah penting terutama untuk segmen yang perlu diutamakan seperti usahawan wanita, sektor pelancongan, sektor halal, eksport dan penerimagunaan IR 4.0, melibatkan PKS yang berkembang dalam bidang digital dan teknologi.

“Oleh itu, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan penyediaan akses lebih besar kepada pembiayaan yang lebih berpatutan melalui subsidi berkadar keuntungan atau peruntukan geran, yang perlu  disokong dengan program pembinaan kapasiti,” katanya.

Mohammad Hardee berkata pihaknya komited dalam memastikan usahawan sedia untuk pasaran dengan model perniagaan yang terbukti menerusi langkah menyediakan latihan praktikal teknikal dan bukan teknikal.

Melalui penyepaduan kecerdasan buatan (AI) yang lebih mendalam, usahawan boleh memupuk persekitaran yang mempercepat proses kelulusan pembiayaan dengan kurangnya campur tangan manusia, katanya.

Pada masa ini, SME Bank menawarkan pelbagai program untuk membantu PKS mendigitalkan perniagaan masing-masing termasuk Dana Transformasi Teknologi PKS (STTF) dan Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau (HTG).

 

Menyasarkan masa depan yang mampan dan inklusif

 

Mohammad Hardee berkata bank itu komited untuk memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar. Oleh itu, perjalanan kemampanannya dibina menerusi tiga tonggak iaitu perbankan yang bertanggungjawab, amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan mewujudkan impak sosial.

Melalui tonggak ini, SME Bank berhasrat untuk menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan dan inklusif, menyokong matlamat negara untuk mencapai operasi neutral karbon menjelang 2030 dan sifar bersih menjelang 2050.

“Komitmen kami terhadap kemampanan dicerminkan dalam Pelan Hala Tuju Kemampanan tiga tahun kami (2021-2023), yang dibahagikan kepada tiga fasa seperti membina asas yang kukuh, menginstitusikan budaya alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dan mempromosikan penggunaan ESG dalam operasi perniagaan pelanggan,” katanya.

Selain itu, bank itu turut membangunkan Rangka Kerja Sukuk Kemampanan (SSF), mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ICMA), Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF), dan Rangka Kerja Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Dalam tempoh 2022 hingga Ogos 2024, SME Bank telah meluluskan pembiayaan mampan bernilai RM7.76 bilion, dan ia menggariskan misinya untuk memperkasa PKS dan menggalakkan pertumbuhan mampan, menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.

“Oleh itu, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan subsidi keuntungan atau faedah cukai seperti pengecualian atau fi setem yang lebih rendah untuk pembiayaan hijau atau peralihan pada dokumen sah. Ini sudah tentu dapat mempercepat kadar pengambilan dan mempermudah maklum balas pasaran yang lebih menggalakkan.

“Ini juga termasuk potongan cukai atau kredit ke atas keuntungan daripada instrumen kewangan yang mampan, selain menyediakan lebih banyak insentif untuk sukuk hijau,” kata Mohammad Hardee.

Beliau berkata dengan melaksanakan langkah-langkah ini, bank boleh memanfaatkan pengecualian cukai ke atas pendapatan yang diperoleh daripada bon hijau dan sukuk, yang seterusnya akan menggalakkan terbitan yang lebih besar dalam instrumen kewangan hijau.

Mohammad Hardee turut menggesa kerajaan untuk menggubal dasar yang berpusat terhadap kredit karbon dan pembiayaan berkaitan kemampanan, membolehkan bank meraih kredit cukai apabila membiayai projek PKS yang dikaitkan dengan pengurangan karbon atau kelestarian alam sekitar.

Bagi menggalakkan teknologi yang cekap tenaga, beliau mencadangkan kerajaan untuk meneroka penyediaan elaun modal untuk pelaburan hijau, menawarkan elaun modal dipercepatkan untuk PKS, yang boleh disokong oleh bank melalui pembiayaan bersasar.

 

Pengurangan cukai bagi sektor eksport

 

Bagi menyokong sektor eksport yang juga antara penyumbang utama ekonomi Malaysia, Mohammad Hardee mencadangkan supaya kerajaan mempertimbang pengecualian ke atas pendapatan eksport, termasuk pelepasan atau mengurangkan cukai pembiayaan untuk PKS yang terbabit dalam perdagangan antarabangsa.

“Kami amat mengalu-alukan jika kerajaan dapat mempertimbang atau memperluas jaminan kerajaan untuk pembiayaan PKS berkaitan eksport, terutama pinjaman untuk perniagaan kecil yang mahu mengembangkan operasi ke peringkat antarabangsa untuk mengurangkan risiko serta pendedahan terhadap bank,” katanya.

Mohammad Hardee berkata ini penting memandangkan PKS merupakan nadi ekonomi Malaysia dan berperanan sebagai pemacu penting pertumbuhan ekonomi negara dan menyumbang dengan ketara ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kemajuan PKS juga kekal sebagai keutamaan dengan 1.2 juta PKS mewakili 97.4 peratus daripada perniagaan.

Mengikut laporan, segmen PKS juga menyumbang kira-kira 39 peratus atau lebih RM613 juta kepada KDNK Malaysia pada 2023.

 

Perancangan masa depan bagi menyokong PKS

 

Bagi kemajuan masa depan, SME Bank akan terus membantu PKS dalam usaha peningkatan menerusi program-program pembangunan yang bertujuan memacu status sosioekonomi usahawan, terutama dari segmen yang tidak atau kurang mendapat manfaat itu.

Mohammad Hardee berkata Program Eksport Perniagaan (BEP) bank itu juga telah mencatat peningkatan jualan eksport, sekali gus menggalakkan usaha menawarkan lebih banyak geran bagi merancakkan pasaran eksport.

“Kami juga merancang untuk meneruskan Program Pembiayaan HalalBiz 2025 selain teruja untuk memperkenalkan kemudahan kewangan tambahan serta program dengan nilai besar untuk memacu segmen yang semakin berkembang ini,” katanya.

Bagi syarikat pemula niaga, SME Bank menyasarkan untuk menangani cabaran mereka menerusi program-program payung atau naungan bagi membantu mempercepat perjalanan pertumbuhan dengan meningkatkan bilangan peneraju.

SME Bank juga dalam proses persiapan untuk memperkenalkan program kewangan hijau atau peralihan baharu untuk dilancarkan dalam masa terdekat sehingga jangka pertengahan yang bertujuan memberi kemudahan bagi transformasi hijau PKS dalam menepati pelan penyahkarbonan mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan