JENAYAH & MAHKAMAH

Syarikat Pengendali Umrah, Pengarah Didenda RM18,000 Gagal Patuhi Award TTPM

16/10/2024 02:14 PM

SEREMBAN, 16 Okt (Bernama) -- Sebuah syarikat pengendali pakej umrah dan pengarahnya didenda RM18,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas enam pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kepada tiga individu yang menuntut keseluruhan RM67,390, tahun lepas.

Hukuman diputuskan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah terhadap Mohd Firdaus Ahmad, 38, selaku orang kena saman (OKS) dan Syarikat Persada Oasis Travel & Tours Sdn Bhd.

OKS membuat pengakuan bersalah pada 14 Okt.

Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Syarikat itu dan pengarahnya didakwa gagal mematuhi perintah award TTPM, supaya syarikat berkenaan membayar masing-masing RM27,880, RM14,040 dan RM25,470 kepada tiga wanita yang menuntut wang itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh award diserahkan pada 27 Jun 2023.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat TTPM di sini pada 26 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Janawatul Fieza Hamisan dan Sallim Wahid manakala Mohd Firdaus tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Janawatul Fieza meminta mahkamah mengenakan hukuman tinggi kepada OKS berikutan perbuatannya menyebabkan kerugian kepada penuntut, kementerian dan mahkamah, selain bagi memberi pengajaran kepada orang lain.

“OKS juga belum menjelaskan bayaran kepada penuntut, yang menunjukkan tiada usaha untuk berunding bagi menyelesaikannya,” katanya.

Sementara itu Mohd Firdaus dalam rayuannya mendakwa dia merupakan mangsa dan kambing hitam dalam kes tersebut dan tidak pernah terlibat dalam industri umrah, selain namanya diletakkan secara tidak sah sebagai pengarah syarikat pada penghujung 2022.

“Saya hanya menjadi rakan kongsi dengan pemilik (sebelum ini). Disebabkan kes ini saya kehilangan kerja, hilang segala-galanya termasuk simpanan dan kini hanya berkebun, saya juga mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU).

“Saya berazam untuk membayar balik, tak adil untuk saya memberikan alasan untuk klien, ia diuruskan oleh orang lain dan saya mengambil tanggungjawab itu, baki bayaran akan saya usahakan, beri masa dan ruang untuk saya pulih semula,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan