DUNIA

Bursa Malaysia Kekalkan Momentum Meningkat Pada Tengah Hari

18/10/2024 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatat peningkatan merentasi semua papan pada tengah hari Jumaat, seiring dengan prestasi sebahagian besar pasaran serantau dan menjejaki prestasi semalaman Wall Street, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 5.57 mata atau 0.33 peratus kepada 1,641.01 daripada 1,641.44 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.85 mata kepada 1,643.29 dan bergerak dalam julat 1,641.71 hingga 1,648.57 sepanjang sesi dagangan itu.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 499 berbanding 354 manakala 482 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,157 tidak diniagakan dan 19 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.28 bilion unit bernilai RM972.96 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata seiring jangkaan terhadap pengumuman Belanjawan 2025 petang ini, kalangan pelabur berkemungkinan akan mempertimbang sektor-sektor seperti pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti yang dilihat sebagai penerima manfaat.

Firma pembrokeran itu turut menyifatkan kaunter perladangan, minyak dan gas serta kewangan sebagai berpotensi dari segi ganjaran dividen yang menarik.

Dari segi teknikal, Malacca Securities menjangkakan paras rintangan sekitar 1,647-1,652 manakala sokongan pada 1,612-1,617.

Saham wajaran tinggi menyaksikan PMetal naik 12 sen kepada RM4.84, Axiata meraih 5.0 sen kepada RM2.40, Genting menokok 6.0 sen kepada RM4.05, QL Resources menambah 7.0 sen kepada RM4.80 dan YTL Corporation meningkat 3.0 sen kepada RM2.28. 

Bagi saham aktif, Northeast Group menambah 4.0 sen kepada 53 sen, WCT menokok 1.5 sen kepada 93 sen, Bina Puri Holdings meraih 1.5 sen kepada 36 sen, MYEG meningkat 1.0 sen kepada 90.5 sen dan Tanco mengukuh 3.0 sen kepada RM1.37.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menambah 55.01 mata kepada 12,378.57 manakala Indeks FBM Emas Shariah naik 72.74 mata kepada 12,290.20.

Indeks FBMT 100 mengukuh  54.81 mata kepada 12,080.56, Indeks FBM 70 melonjak 132.43 mata kepada 17,755.05 dan Indeks FBM ACE meningkat 13.31 mata kepada 5,105.42.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 36.84 mata kepada 19,492.08, Indeks Tenaga pulih 2.53 mata kepada 858.83, Indeks Perladangan meningkat 21.81 mata kepada 7,272.04 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.17 mata kepada 176.40.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan