EKONOMI

Belanjawan 2025 Jadi Asas Ekonomi Digital

18/10/2024 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 akan menjadi asas utama dalam membina ekonomi yang dipacu oleh digital dan inovasi seterusnya meletakkan Malaysia ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2025, Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) memainkan peranan penting dalam menyokong usaha kerajaan untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital menjelang 2030.

MyDIGITAL akan memberikan manfaat ketara kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menggalakkan penerimagunaan digital, menambah baik infrastruktur, memperluas akses pasaran, memperkasakan program peningkatan kemahiran dan latihan semula, memperkukuh keselamatan siber serta mempertingkatkan produktiviti serta daya saing.

“Seiring dengan usaha itu, program GEAR-uP akan memberikan tumpuan kepada memperkukuh kerjasama antara industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dengan PMKS dalam rantaian bekalan melalui platform digital,” menurut laporan  dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Selain itu, laporan berkenaan menggariskan kerajaan akan memberikan keutamaan kepada keselamatan siber di seluruh rangkaian infrastruktur digital yang menghubungkan semua pengguna bagi memastikan ekosistem yang selamat dan terjamin ke arah keyakinan pelabur dan perniagaan yang tinggi.

Menurut laporan itu melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), kerajaan akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi menangani ancaman keselamatan siber untuk memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854).

“Langkah ini termasuk membina kapasiti dalam jentera kerajaan melalui penilaian risiko siber dan latihan audit untuk memperkukuh ketahanan infrastruktur digital negara,” menurut laporan setebal 204 muka surat itu.

Selain itu, ketersambungam berterusan dan stabil di seluruh negara menjadi keutamaan melalui perluasan rangkaian komunikasi merangkumi kawasan liputan terhad yang bertujuan menggalakkan pelaburan dalam pusat data, pengkomputeran awan dan perkhidmatan dipacu teknologi lain.

Sehubungan itu, usaha merangkumi pembangunan infrastruktur Internet yang menyeluruh dan stabil bagi memudah cara inovasi dan penerimagunaan teknologi termaju seperti robotik, kecederdasan buatan (Al) dan Internet Benda (IoT) perlu dilakukan sekali gus menarik minat pelabur meneroka persekitaran berteknologi tinggi.

Selain itu, Belanjawan 2025 juga akan menjurus kepada usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai antara 20 hab pemula global menjelang 2030 melalui inisiatif Pelan Tindakan KL20.

Inisiatif itu akan mewujudkan persekitaran yang kondusif, menggalakkan pelaburan dan peluang untuk modal teroka serta menggalakkan lebih banyak pembiayaan untuk syarikat pemula bagi memacu inovasi di Malaysia. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan