EKONOMI

Malaysia Teraju Kesejahteraan Ekonomi ASEAN Menerusi Sumber, Infrastruktur Digital

18/10/2024 04:34 PM

 

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Malaysia berada pada kedudukan baik dalam memacu ASEAN ke arah kemakmuran ekonomi dan integrasi serantau dengan memanfaatkan sumber dan infrastruktur digital disokong oleh kerajaan yang stabil dan dasar yang jelas.

Menurut Kementerian Kewangan dalam Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025 hari ini, Malaysia akan mempererat kerjasama dalam kalangan anggota ASEAN untuk mengharmonikan dasar, menyeragamkan peraturan dan meningkatkan perdagangan rentas sempadan demi mewujudkan ASEAN yang lebih kukuh.

Malaysia berpotensi menyumbang kepada ASEAN yang lebih berdaya tahan, inklusif dan makmur dengan menangani cabaran serta memanfaatkan peluang sedia ada.

“Menjelang kepengerusian ASEAN pada 2025, Malaysia akan memberikan tumpuan kepada pengukuhan kerjasama seranta dalam bidang strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E), kecerdasan buatan (AI), pelancongan perubatan serta inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Malaysia akan memperkenalkan Konsep Komuniti ASEAN 2045 bagi meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara anggota, mengeratkan perpaduan, merapatkan jurang perbezaan serta memupuk keharmonian untuk kemakmuran ekonomi serantau.

“Kepengerusian ini juga mencerminkan hala tuju Malaysia ke arah merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI untuk menjadi peneraju ekonomi Asia,” katanya.

Industri E&E Malaysia merupakan antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan dan peluang pekerjaan, lokasi yang strategik serta infrastruktur yang komprehensif membolehkan Malaysia menawarkan akses kepada pasaran global yang merangkumi lebih empat bilion penduduk melalui pelbagai perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Malaysia kini menyumbang 13 peratus daripada pasaran pengujian dan pembungkusan semikonduktor global dan menjadi pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia dengan merangkumi 60 peratus daripada jumlah eksport E&E negara.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), kerajaan menyasarkan sumbangan industri E&E sebanyak RM120 bilion kepada KDNK menjelang 2025.

Mengenai usaha kerajaan berkaitan AI, Kementerian Kewangan berkata Malaysia berada pada landasan untuk muncul sebagai hab Al di rantau ini berikutan sambutan yang semakin menggalakkan daripada pemain-pemain teknologi global.

Microsoft telah menyatakan komitmen untuk melabur US$2.2 bilion dalam tempoh empat tahun bagi mempercepat transformasi digital Malaysia termasuk membina infrastruktur awan dan Al, mewujudkan peluang kemahiran Al untuk 200,000 orang serta menubuhkan sebuah pusat kecemerlangan Al.

Oracle turut menyatakan hasrat untuk melabur sebanyak US$6.5 bilion bagi menubuhkan pusat awan awam serantau di Malaysia.

ASEAN mencatat aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh bernilai US$165.1 bilion dalam tempoh sebelum COVID-19 dengan Malaysia menerima pelaburan sebanyak US$7.8 bilion.

Selepas pandemik, FDI ASEAN melonjak dengan ketara kepada US$223.5 bilion pada 2022 dengan pelaburan yang diterima oleh Malaysia meningkat lebih dua kali ganda kepada US$16.9 bilion, perkembangan tersebut bukan sahaja menyerlahkan daya tahan ASEAN sebagai destinasi pelaburan utama tetapi juga kepentingan strategik dalam rantaian nilai global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan