EKONOMI

Sektor Swasta Pacu Permintaan Dalam Negeri, Dijangka Catat Pertumbuhan 6.1 Peratus Pada 2025

18/10/2024 04:37 PM

 

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Permintaan domestik Malaysia dijangka berkembang sebanyak 6.1 peratus pada 2025, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang meningkat pada 6.6 peratus, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Menerusi laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan hari ini, kementerian berkata sumbangan sektor swasta kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kekal tinggi sebanyak 5.1 mata peratus sejajar dengan perbelanjaan penggunaan dan pelaburan yang kukuh.

Ia berkata perbelanjaan awam dijangka berkembang sebanyak 4.1 peratus pada 2025 dan menyumbang 0.7 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK.

"Penggunaan swasta dijangka meningkat 5.9 peratus terutamanya disumbangkan oleh peningkatan dalam pendapatan boleh guna -- ini disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang mampan, keadaan pasaran buruh yang memberangsangkan dan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ," katanya.

Kementerian itu berkata pelaburan swasta dijangka terus berkembang sebanyak 8.9 peratus disokong oleh kemajuan projek berbilang tahun baharu dan sedia ada terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berikutan usaha kerajaan untuk mengukuhkan ekosistem pelaburan.

“Penggunaan awam diunjur meningkat sebanyak 3.8 peratus, terutamanya didorong oleh peningkatan perbelanjaan emolumen berikutan pelaksanaan SSPA.

"Sementara itu, pelaburan awam diramalkan berkembang sebanyak 4.9 peratus pada 2025, terutamanya disokong oleh perbelanjaan modal yang lebih tinggi oleh syarikat awam bukan kewangan (SABK), dengan sumbangan sekitar 70 peratus daripada jumlah pelaburan awam," menurut laporan itu.

MoF berkata, pertumbuhan pendapatan negara kasar (PNK) pada harga semasa dijangka mencatat 6.7 peratus pada 2025 sejajar dengan pengembangan dalam aktiviti ekonomi domestik, manakala tabungan negara kasar (TNK) diunjur merekodkan 24 peratus daripada PNK dan jumlah pelaburan sebanyak 21.6 peratus daripada PNK.

"Jurang tabungan-pelaburan dijangka kekal mencatat lebihan pada RM49.1 bilion atau 2.4 peratus daripada PNK yang membolehkan negara membiayai pelaburan terutamanya daripada sumber domestik," kata MoF.

Bagi baki tahun 2024, MoF berkata permintaan domestik negara dianggar berkembang sebanyak 6.3 peratus bagi keseluruhan tahun, selepas mencatatkan pertumbuhan 6.5 peratus pada separuh pertama (1H) 2024, dengan perbelanjaan sektor swasta dijangka meningkat sebanyak 6.7 peratus.

Ia berkata perbelanjaan sektor awam dijangka meningkat sebanyak lima peratus dan menyumbang 0.9 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK, manakala penggunaan swasta mencatat pertumbuhan 5.3 peratus pada 1H 2024 dan dijangka meningkat sebanyak 5.5 peratus bagi keseluruhan tahun.

Selain itu, pertumbuhan pelaburan swasta yang melonjak pada 1H 2024 dijangka mengekalkan momentum dua digit iaitu 11 peratus pada 2024, terutamanya didorong oleh perbelanjaan modal syarikat bagi pengembangan kapasiti khususnya dalam struktur serta jentera dan peralatan.

Sementara itu, kementerian berkata penggunaan awam berkembang sebanyak 5.5 peratus pada 1H 2024 dan dianggar mencatat pertumbuhan 3.5 peratus bagi keseluruhan tahun.

"Pelaburan awam menunjukkan prestasi kukuh dengan merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 10.3 peratus pada 1H 2024, terutamanya didorong oleh perbelanjaan modal SABK yang lebih tinggi.

“PNK pada harga semasa dianggar meningkat sebanyak 7.2 peratus pada 2024 berbanding pertumbuhan 1.9 peratus pada 2023. Pertumbuhan TNK juga dijangka meningkat pada kadar lebih pantas iaitu 10 peratus, dan menyumbang sebanyak 25.4 peratus daripada PNK," kata kementerian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan