AM

Keputusan Makmal Ekstrak Torium Daripada LC, Sisa WLP Memberangsangkan - Chang

23/10/2024 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Keputusan makmal bagi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) pengekstrakan torium daripada lanthanide pekat (LC) dan sisa water leach purification (WLP) menunjukkan keputusan memberangsangkan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata kementerian itu giat memantau projek R&D berkenaan dan keputusan yang diperoleh mendapati pengekstrakan torium daripada lanthanide pekat mencapai 100 peratus manakala WLP mencapai 92 peratus.

“Ini keputusan yang amat memberangsangkan dan kita harap kita dapat up scale perkara ini kepada skala projek rintis.

“Secara teorinya, reaktor (bahan api) torium adalah lebih selamat dan sisa radioaktifnya lebih rendah dan tidak bertahan lama namun untuk menggunakannya sebagai bahan api memerlukan teknologi canggih dan rumit selain kos yang tinggi,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan membangunkan atau meneroka teknologi reaktor torium dan pengekstrakan bahan itu daripada industri unsur nadir bumi.

Pembangunan reaktor nuklear garam lebur berbahan api torium untuk menghasilkan tenaga mula mendapat perhatian dunia kerana dipercayai lebih selamat dan kurang menghasilkan kesan rumah hijau dan sisa radioaktif.

Menjawab soalan asal Ahmad Amzad mengenai rancangan kementerian untuk membina reaktor nuklear baharu dengan teknologi lebih baharu dan canggih bagi menggantikan Reaktor Triga Puspati (RTP), Chang berkata MOSTI melalui Agensi Nuklear Malaysia sedang menjalankan Kajian Teknikal Pelan Penggantian RTP yang telah dimulakan pada 2022 hingga 2025 menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Beliau berkata kajian itu melibatkan skop penilaian kesan sosioekonomi projek Reaktor Penyelidikan Pelbagai Guna (MPR) termasuk kos pembinaan, operasi, keselamatan, sekuriti dan kawal gunaan serta pengurusan sisa yang mematuhi piawaian antarabangsa.

“Kajian ini juga mengambil kira input dan cadangan daripada pihak pemegang taruh agar projek ini memberikan manfaat kepada semua pihak berkepentingan di Malaysia

“Aktiviti lain yang dirancang melibatkan kajian kebolehlaksanaan MPR, program pembangunan pelan strategik MPR dan perancangan untuk misi pakar Integrated Nuclear Infrastructure Review for Research Reactor (INIR-RR) oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” katanya.

Beliau berkata dengan reaktor penyelidikan nuklear baharu itu MOSTI berhasrat mengurangkan kebergantungan import luar negara terhadap pelbagai jenis radioisotop bagi tujuan perubatan, industri dan biosains.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan