AM

KUSKOP Komited Laksana Bantuan Keusahawanan Termasuk Usahawan India

23/10/2024 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa prihatin dan komited dalam melaksanakan pelbagai bantuan keusahawanan yang bersifat inklusif termasuk kepada usahawan masyarakat India.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri R. Ramanan berkata antara bantuan dilaksanakan melalui pembiayaan seperti Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), SPUMI Goes Big oleh TEKUN Nasional dan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Kedua-dua ini tidak termasuk dalam Bajet 2024 tetapi ini inisiatif dan kerjasama antara KUSKOP dengan TEKUN dan AIM,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) yang bertanyakan jumlah peruntukan yang telah diperuntukkan bagi pembangunan sosioekonomi masyarakat India di bawah SPUMI dan PENN serta perincian jumlah peserta menerima pinjaman berkenaan shingga 30 Sept 2024, khususnya kawasan Parlimen Sungai Siput.

Ramanan berkata bagi program SPUMI, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM482.6 juta kepada 30,101 usahawan masyarakat India sejak 2008 hingga 30 Sept lepas.

Beliau berkata seramai 764 usahawan masyarakat India di kawasan Sungai Siput telah menerima pembiayaan SPUMI berjumlah RM11.27 juta dalam tempoh sama.

Bagi program PENN pula, AIM telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM22.7 juta kepada 2,644 usahawan India bagi tempoh Januari hingga 30 Sept lepas.

Dalam tempoh itu juga, seramai 99 usahawan masyarakat India di kawasan Sungai Siput menerima pembiayaan PENN berjumlah RM1.1 juta manakala bagi program SPUMI Goes Big, sebanyak lapan permohonan diterima daripada Parlimen Sungai Siput dan diluluskan.

Menjawab soalan tambahan Kesavan yang ingin tahu tindakan kementerian untuk menarik minat lebih ramai usahawan muda India untuk menyertai skim pembiayaan, Ramanan berkata pihaknya melaksanakan banyak inisiatif seperti membuka kaunter promosi pada program pameran melibatkan AIM dan TEKUN selain menggunakan platform media sosial.

Beliau berkata siri taklimat turut diadakan bersama pertubuhan bukan kerajaan dan agensi-agensi seperti Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan Kuala Lumpur & Selangor Indian Chamber of Commerce & Industry (KLSICCI), selain program sukaneka yang akan dijalankan oleh AIM di Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Kuang di Kuala Kangsar, Perak esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan