Ibarat sebuah pentas alam fantasi terapung, kapal persiaran Disney Adventure yang bakal melakukan pelayaran sulung dari sini pada 15 Dis 2025, menjanjikan pengalaman penuh keajaiban buat mereka yang gemar bercuti di laut, khususnya peminat watak animasi dan kartun Disney, Marvel serta Pixar.
Disney Adventure merupakan kapal persiaran Disney Cruise Line (DCL) yang pertama berpangkalan di Asia dan dibina dengan menepati elemen serta cita rasa masyarakat rantau ini.
Menawarkan pelbagai permainan dan tarikan termasuk yang pertama kali diperkenalkan, setiap penumpang tidak akan berasa bosan sepanjang pelayaran kerana terdapat banyak aktiviti boleh dilakukan, sama ada bersama-sama keluarga, pasangan atau bersendirian.
Akan tetapi, tarikan sudah pastinya tertumpu pada Ironcycle Test Run, rollercoaster terpanjang di laut yang dibina pada ketinggian sembilan meter dari aras geladak teratas kapal.
Permainan ini menjanjikan kepuasan menerusi letusan adrenalin tatkala kenderaan dua tempat duduk itu memecut dan membelok laju, selekoh demi selekoh sejauh 250 meter.
Bagi yang gemarkan hiburan dalam suasana lebih santai, Disney Adventure menampilkan Disney Imagination Garden, iaitu sebuah perani atau amfiteater terbuka dengan teknologi terkini, dilengkapi skrin LED gergasi. Di sini, penumpang berpeluang menyaksikan persembahan menakjubkan oleh watak-watak Disney dan Marvel kegemaran mereka, sesuai untuk hiburan sebuah keluarga.
TUJUH TEMA HIBURAN
Menurut jurucakap DCL, tempahan tiket dibuka bermula 10 Dis ini, sementara perincian tentang harga dan pelayaran akan dimaklumkan pada 14 Nov depan.
“Pelayaran magis ini yang ditawarkan dalam pakej tiga malam dan empat malam, memberikan hiburan menerusi tujuh tema termasuk Disney Imagination Garden dan Marvel Landing,” katanya pada pelancaran Disney Adventure di Sands Expo & Convention Centre, di sini baru-baru ini.
pic-2
Jurucakap itu berkata Singapura dipilih sebagai pangkalan Disney Adventure berikutan kedudukan negara berkenaan yang strategik berserta jaringan pengangkutan udara dan infrastruktur pelabuhan bertaraf dunia.
“Disney menggemblengkan elemen-elemen unik Asia dalam pelayaran ini, daripada persembahan hinggalah makanan dan hiburan, malah reka bentuk kapal.
“Hasilnya, kapal persiaran yang beroperasi dari Marina Bay Cruise Centre ini akan menawarkan pengalaman yang direka khusus untuk tetamu di Asia,” katanya.
KABIN DENGAN TEMA TERSENDIRI
Disney Adventure yang bersaiz 208,000 tanan kasar (GT) ini menyediakan 2,111 kabin pelbagai kategori dengan kapasiti penumpang seramai 6,700 orang serta 2,500 kru.
“Kebanyakan kabin menampilkan ciri-ciri khusus DCL, termasuk bilik air terpisah, iaitu ruang mandi dan tandas diasingkan agar tetamu dapat bersiap pada masa sama.
pic-3
“Selain itu, perkhidmatan bilik pula tersedia 24 jam bagi membolehkan tetamu menikmati makanan dan snek di kabin mereka pada bila-bila masa,” kata jurucakap itu.
Tambahnya, mereka yang membawa anak kecil dalam pelayaran itu juga tidak perlu gusar kerana segala keperluan bayi disediakan.
“Kapal persiaran ini juga mempunyai dua suite diraja yang diinspirasikan daripada animasi Disney, iaitu Frozen, dilengkapi antaranya bilik untuk kanak-kanak, ruang santai dan balkoni dengan kolam pusar.
“The Elsa Royal Suite menampilkan hiasan kontemporari yang menyerlahkan kuasa ajaib Elsa, iaitu ais. Sementara The Anna Royal Suite pula mengetengahkan ciri-ciri musim panas di Kerajaan Arendelle,” jelasnya.
MENJAMU SELERA BUKAN SEKADAR MAKAN
Menjamu selera di atas Disney Adventure bukan sekadar menikmati makanan.
Sebaliknya tetamu bakal melalui pengalaman mengasyikkan menerusi persembahan cerita-cerita Disney, katanya.
pic-4
Menurut beliau, tetamu akan dapat menikmati tiga pengalaman menjamu selera dengan setiap sesi disediakan oleh pasukan sama bagi memberikan sentuhan peribadi dalam setiap makanan yang mereka pesan.
“Bukan itu sahaja, bagi yang mahu makan secara santai, kami menyediakan bufet sarapan dan makan tengah hari sebelum beralih kepada hidangan di meja untuk sesi makan malam,” katanya.
Bagi yang mahukan opsyen premium, mereka boleh menikmati hidangan Itali di Palo Trattoria atau cita rasa Asia di Mike & Sulley’s.
Selain itu, turut ditawarkan restoran dengan perkhidmatan pantas seperti Bewitching Boba and Brews yang menyediakan teh buih serta lain-lain makanan; Stitch’s Ohana Grill dengan burger dan sandwic gaya Hawaii, serta Mowgli’s Eatery yang menghidangkan makanan India termasuk menu vegetarian.
KEKALKAN KELESTARIAN
Menurut jurucakap itu lagi, DCL juga komited kepada usaha mengurangkan pelepasan karbon, meminimumkan penghasilan sisa, menjimatkan penggunaan air serta melindungi laut dan hidupan liar, selari dengan matlamat alam sekitar The Walt Disney Company.
“Seperti kesemua kapal Disney, Disney Adventure juga dibina dengan teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api dan tenaga.
“Contohnya, Disney Adventure akan menggunakan campuran bahan api yang lestari dan rendah pelepasan termasuk Hydrotreated Vegetable Oil (HVO), sementara menunggu bekalan metanol hijau yang mencukupi,” katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial