JENAYAH & MAHKAMAH

Buli Penuntut UPNM, 16 Individu Diambil Keterangan Setakat Ini - Polis

03/11/2024 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Polis telah merakam keterangan 16 individu setakat ini dalam siasatan kes buli dan dera seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya juga telah merampas seterika yang disyaki digunakan untuk menekap mangsa semalam, namun belum menerima laporan perubatan lengkap berhubung kecederaan yang dialami mangsa.

“Setakat ini sebanyak 16 individu telah dirakam keterangan dan siasatan sedang berjalan, laporan perubatan juga masih belum diperoleh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bernama difahamkan antara individu yang dirakam keterangan ialah mangsa, kakitangan  ALK, saksi kejadian dan pegawai perubatan yang merawat kecederaan penuntut UPNM itu.

Semalam, Rusdi berkata pihaknya telah merakam keterangan suspek yang disyaki terlibat dalam kes buli dan dera berkenaan.

Terdahulu, Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan terhadap kes berkenaan telah dimulakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas mangsa berusia 20 tahun membuat laporan pada Jumaat lepas.

Kejadian dipercayai berlaku di bilik asrama UPNM pada 11.45 malam, 22 Okt selepas suspek berumur 22 tahun yang juga penuntut tahun empat UPNM meminta mangsa menggosok baju kerja miliknya dan tiba-tiba mengambil seterika dipegang mangsa sebelum menekap di bahagian dada sebelah kanannya sebanyak satu kali.

Tindakan penuntut senior itu menyebabkan mangsa terkejut dan menjerit serta menyebabkan kecederaan melecur.

Ketika kejadian, beberapa penuntut senior dikatakan turut berada di dalam bilik berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan